suria

FAM Perlu Pastikan Latihan Luar Negara Beri Pulangan

KOTA BARU: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu memastikan latihan skuad Harimau Malaya di luar negara mampu memberi pulangan yang setimpal dengan perbelanjaan besar yang terpaksa ditanggung kerajaan kepada skuad kebangsaan.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong berkata, kesesuaian memilih tempat latihan adalah penting kerana melibatkan kos yang tinggi.

"Kalau peruntuk wang yang banyak, tapi lawan dengan pasukan berstatus sekolah, baik duduk dekat Kuala Lumpur...lawan dengan budak-budak Sekolah Sukan Bukit Jalil sahaja.

"Kalau boleh berikan manfaat dari segi pendedahan, boleh diteruskan tapi kena pastikan kita akan dapat manfaat kerana belanja yang dikeluarkan bukanlah sedikit. Kalau tak sesuai tak perlulah. Banyak lagi tempat lain yang lebih sesuai," katanya kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat bersama pegawai Majlis Sukan Negara (MSN) Kelantan di sini Isnin.

Akhbar pada Isnin melaporkan tindakan pengendali Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal untuk menghadapi kelab divisyen dua Australia di Canberra dan Sydney serta keputusan FAM membatalkan perlawanan persahabatan kelas A menentang Singapura pada 4 dan 7 Jun ini mengundang pertanyaan daripada pelbagai pihak.

Ramai pihak berpendapat ia satu keputusan yang tidak wajar memandangkan cuaca di Australia kian sejuk iaitu dua hingga tujuh darjah Celsius di Canberra, 10 hingga 14 darjah Celsius di Sydney manakala suhu di Bahrain 26 hingga 33 darjah celsius.

Skuad kebangsaan akan bertemu Bahrain dalam saingan Kumpulan D, Kelayakan Piala Asia 2015 pada 15 Oktober di Kuala Lumpur.

Dalam perkembangan lain, Zolkples berkata, hasrat kerajaan membida untuk menjadi tuan rumah kepada bola sepak Piala Dunia 2034 adalah tepat.

"MSN mempunyai 'Projek 2019' di mana kita latih pemain bawah 17 tahun untuk menyertai Piala Dunia bawah 17 pada 2019 nanti.

"Kita harap dengan program latihan tersebut akan menghasilkan lebih ramai bakat-bakat baru menjelang Piala Dunia 2034 nanti," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain