suria

China Juara Piala Sudirman Kali Kesembilan, Tundukkan Korea Selatan 3-0

KUALA LUMPUR: China membuktikan mereka merupakan pasukan badminton terbaik dunia selepas mudah menundukkan Korea Selatan, 3-0 pada perlawanan akhir Piala Sudirman 2013 yang penuh mendebarkan di Stadium Putra, Bukit Jalil, di sini, Ahad.

Kemenangan tersebut menjadikan negara Tembok Besar itu pasukan paling berjaya dalam sejarah kejohanan badminton campuran berpasukan dunia dengan sembilan kejuaraan termasuk kemenangan yang diraih pada Ahad.

Mereka pernah meraih kejuaraan pada 1995, 1997, 1999, 2001, 2005, 2007, 2009 dan 2011 selain muncul naib juara pada 2003 di Belanda.

Kekalahan itu pula memusnahkan harapan Korea Selatan untuk menjulang Piala Sudirman buat kali keempat selepas menang pada 1991, 1993 dan 2003 selain muncul naib juara juga sebanyak tiga kali iaitu pada 1989, 1997 dan 2009.

Pada perlawanan pada Ahad, beregu campuran nombor satu dunia, Xu Chen dan Ma Jin memberikan mata pertama untuk pasukan negara Tembok Besar itu selepas mereka mengalahkan Ko Sung Hyun dan Kim Ha Na 21-13 dan 21-15.

Perseorangan lelaki kedua dunia, Chen Long melebarkan kedudukan kepada 2-0 buat China selepas menundukkan pemain ranking ke-63 dunia, Lee Dong Keun 21-15 dan 21-10.

Beregu lelaki keenam dunia yang juga juara All-England 2013, Liu Xiaolong dan Qiu Zihan memastikan kemenangan selesa 3-0 buat China selepas mereka mencipta kejutan dengan menundukkan beregu kedua dunia, Ko Sung Hyun dan Lee Yong Dae 21-19 dan 21-17.

Naib Presiden Persekutuan Badminton Dunia (BWF) bagi rantau Asia, Liu Feng Yan menyampaikan trofi Piala Sudirman kepada Ketua jurulatih badminton China, Li Yongbo.

Thailand dan Denmark pula berkongsi tempat ketiga selepas masing-masing tumpas kepada Korea Selatan dan China dengan keputusan 3-1 pada aksi separuh akhir, pada Sabtu.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah, Li merakamkan penghargaan kepada barisan pemainnya berikutan aksi cemerlang mereka menentang Korea Selatan, sekali gus membolehkan mereka merangkul kejuaraan buat kali kesembilan.

"Saya gembira melihat pemain kami menebus kekalahan 3-1 di tangan lawan yang sama pada 2003 dan saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua pemain serta staf kejurulatihan kerana usaha tanpa lelah mereka bagi memastikan pasukan kami memenangi kejohanan tahun ini.

"Sebenarnya, saya tidak menyangkakan pasukan saya akan mencatat kemenangan mudah ke atas Korea Selatan memandangkan kami terpaksa mengharungi pertarungan sengit menentang Indonesia di peringkat suku akhir pada Khamis dan Denmark dalam pertembungan separuh akhir semalam," katanya.

Bekas pemain beregu campuran China berusia 50 tahun itu berkata, titik peralihan pasukannya untuk memenangi perlawanan pada Ahad disebabkan persembahan terbaik Xu dan Ma menentang pasangan beregu campuran Korea Selatan.

"Xu dan Ma mempunyai rekod pencapaian yang lemah ke atas pasangan Korea Selatan. Kemenangan mereka memberi lonjakan tambahan kepada pemain lain untuk menyumbang mata penting kepada pasukan kami," kata Li.

Ditanya mengenai pencapaian Malaysia dalam kejohanan tahun ini, Li berkata, negara ini perlu belajar cara membangunkan lebih banyak bakat muda daripada hanya bergantung sepenuhnya kepada pemain berpengalaman untuk menyumbang mata.

"Kami sebaliknya sering memberi peluang kepada pemain muda (seperti Liu dan Qiu dalam beregu lelaki) untuk menyumbang mata kepada kami sungguhpun saya tahu ia membawa risiko besar bagi keseluruhan pasukan untuk memenangi kesemua perlawanan," kata Li.

Turut berkongsi pandangan Li ialah ketua jurulatih Korea Selatan, Ha Tae-Kwon yang menggesa negara lain untuk mempelajari cara negara Tembok Besar itu mencungkil bakat baharu bagi memastikan kesinambungan kecemerlangan mereka dalam sukan badminton. - BERNAMA

Artikel Lain