suria

Annuar Musa Harap Kelantan Ke Final Bertemu JDT

KOTA BARU: Penasihat Persatuan Bola sepak Kelantan, Tan Sri Annuar Musa yang berpuas hati dengan persembahan skuadnya membenam Terengganu 4-1 pada pertemuan separuh akhir pertama Piala FA malam Sabtu, berharap anak buahnya mengekalkan momentum itu untuk ke final.

Beliau juga berharap pentas final akan menyaksikan pertembungan skuad Kelantan dan Johor Darul Takzim (JDT).

"Kita harap dapat bertemu Johor Darul Takzim di final, sebab baru ni kita tak puas hati sebab tak main 'full team'. Jadi kita nak main 'full team', kita nak uji Johor, di 'neutral ground'," katanya ketika ditemui, di sini Ahad.

Pada pertemuan di laman sendiri malam Sabtu, skuad Red Warriors yang menurunkan semua pemain utama, ketinggalan 0-1 pada separuh masa pertama namun bangkit pada 10 minit terakhir babak kedua untuk menjaringkan empat gol.

Mengulas percaturan jurulatih Kelantan Bojan Hodak yang tidak menurunkan kesebelasan utama pada pertemuan dengan JDT Rabu lepas, Annuar berkata beliau berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan jurulatih dari Croatia itu.

"Malam tadi kita setujulah (dengan percaturan Bojan) yang meletakkan pemain-pemain utama. Yang tak setuju ni dia simpan pemain dulu. Tapi lepas dia jelaskan kepada saya prioriti dia adalah (perlawanan) ini, kita terima. Bojan dah buktikan dan kita terima alasan dia," katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan Annuar mengecam tindakan Hodak menerusi laman sosial Facebook miliknya selepas Kelantan tunduk kepada JDT 0-2 dalam pertemuan Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor.

Hodak mempertahankan tindakannya "menyimpan" beberapa pemain tonggak dengan alasan mahu memberi mereka yang cukup bagi menghadapi saingan separuh akhir Piala FA.

Mengulas tegurannya menerusi laman sosial itu, Annuar berkata beliau sekadar mahu menyedarkan anak buahnya selain membayangkan ada 'durian runtuh' menunggu jika Kelantan mara ke final Piala FA.

"Kita mesti mara ke final sebab kita adalah juara bertahan, dan saya beritahu mereka saya akan beri ganjaran yang cukup besar sekiranya berjaya ke final," katanya.

Sementara itu, Hodak berkata keletihan bermain dalam 17 perlawanan dalam tempoh dua bulan menjadi penyebab kepada kemerosotan kualiti permainan dan beliau terpaksa memanfaatkan sepenuhnya pemain tonggak kerana kekurangan pemain simpanan berbisa yang boleh digilirkan.

Akan tetapi katanya, keputusan yang dicatat menunjukkan pemain Kelantan mempunyai kualiti tersendiri kerana masih berupaya mempamer prestasi cemerlang sekalipun keletihan mengharungi jadual perlawanan yang padat. - BERNAMA

Artikel Lain