suria

Nicol kalahkan Omneya untuk ke perlawanan akhir sukan dunia

KUALA LUMPUR: Ratu skuasy negara dan pemain wanita nombor satu dunia, Datuk Nicol David tidak menghadapi halangan untuk mara ke perlawanan akhir skuasy wanita pada temasya Sukan Dunia di Kaoshuing, Taiwan.

Pada perlawanan separuh akhir menentang pemain Mesir, Omneya Abdel Kawy hari ini di Stadium Chung Cheng Martial Arts, Nicol selaku pemain pilihan utama hanya memerlukan 25 minit untuk menewaskan lawannya dengan set terus 11-4, 11-3 dan 11-6.

Beliau akan menentang Natalie Grinham, pemain berasal dari Australia yang mewakili Belanda pada perlawanan akhir esok bagi mempertahankan pingat emas yang dimenanginya empat tahun lalu di Duisburg, Jerman.

Berlainan dengan nasib Nicol, Grinham pula dipaksa bermain lima set ketika menentang Alison Waters yang mewakili Britain, menurut laman web rasmi temasya sukan itu, www.worldgames2009.tw.

Pada dua set awal, Grinham tewas 811 dan 011 tetapi bangkit semula pada set berikutnya dengan 114, 119 dan 116 dalam perlawanan yang mengambil masa 61 minit.

Sementara itu, nasib tidak menyebelahi pemain lelaki negara, Mohd Azlan Iskandar selepas tewas di tangan pemain Britain, Nick Matthew.

Pada perlawanan separuh akhir, Mohd Azlan bermula baik dengan menguasai set pertama dan kedua dengan 11-7 dan 11-6. Bagaimanapun, pada tiga set berikutnya, Matthew bangkit dan memberi saingan sengit kepada Mohd Azlan untuk menang 11-6, 11-7 dan 13-11 dalam perlawanan yang mengambil masa satu setengah jam.

Matthew akan bertemu rakan senegara, James Willstrop pada perlawanan akhir.

Willstrop melangkah ke perlawanan akhir selepas lawannya, Stewart Boswell dari Australia menarik diri akibat kecederaan ketika bermain pada set pertama.

Ketika itu, Boswell mendahului Willstrop 75. BERNAMA

Artikel Lain