suria

Selangor belasah polis, juarai takhta Liga Super

KUALA LUMPUR: Skuad Selangor bimbingan K. Devan buat julung kalinya menjuarai takhta Liga Super musim 2008/2009 setelah membelasah pasukan tercorot Polis 6-1 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang di sini malam ini.

Pasukan itu mengutip 60 mata, berbeza tujuh mata dengan pencabar terdekatnya Perlis yang mengumpul 53 mata.

Dengan sokongan padu penyokong Merah Kuning di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Skuad Gergasi Merah yang diketuai Amri Yahya tidak menghadapi masalah besar berhadapan dengan Polis yang hanya mampu mengumpul tiga mata sepanjang musim ini.

Amri dianggap wira negara setelah berjaya menyumbang dua gol kepada pasukan Malaysia ketika perlawanan persahabatan menentang Manchester United di Stadium Bukit jalil Sabtu lepas.

Selangor bermula garang dengan melakukan serangan bertubi-tubi ke atas pintu gol Polis dan pertahanan Polis akhirnya rapuh apabila penyerang Selangor, Rudie Ramli menjaringkan gol pertama seawal minit keempat.

Kerapuhan pertahanan Polis dibenam lagi menerusi tandukan Mohd Nasrio Baharom pada minit ke-30.

Pada awal separuh masa kedua, Selangor yang tidak berpuas hati dengan jaringan sedia ada, memperoleh gol ketiga menerusi Amri pada minit ke-47.

Selangor terus berpesta gol apabila Mohd Razman Roslan membuat jaringan menerusi sepakan penalti pada minit ke-55, Amirul Hadi Zainal (minit ke-71) dan Surendren Davaghan (minit ke-75).

Gol tunggal pasukan Polis dijaringkan Khairul Izuan pada minit ke-86.

Sementara itu, Perlis tumpas 1-2 kepada KL Plus di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Kelantan pula gagal menggunakan kelebihan bermain di tempat sendiri apabila tewas kepada bekas juara berganda Kedah 0-1 di Stadium Sultan Mohd ke-IV, Kota Baharu. BERNAMA

Artikel Berikut

JADUAL PERLAWANAN LIGA SUPER

Artikel Lain