FILEM seram thriller Taiwan berjudul Mudborn arahan pengarah terkenal, Shieh Meng-Ju mencipta fenomena luar biasa sejak ditayangkan di seluruh Malaysia bermula 27 November lalu.
Malah naskhah ini turut diterima baik di Taiwan sekali gus menjadikan filem seram berbahasa Mandarin paling mendapat sambutan di negara itu bagi tahun 2025.
Pencapaian mengagumkan itu turut mengukuhkan kedudukan Mudborn sebagai antara filem seram Cina paling laris tahun ini dan membuktikan genre seram masih mempunyai pengaruh kuat di hati penonton termasuk di Malaysia.
Diinspirasikan daripada lagu kanak-kanak terkenal Ni Wa Wa, Ni Wa Wa, Yi Ge Ni Wa Wa…(Anak Patung Tanah Liat) dengan lirik kedengaran riang, senikata tersebut menyimpan sisi gelap yang semakin menyeramkan apabila didengar kembali sewaktu dewasa. Antara bait yang sering diperkatakan adalah, ‘matanya tidak berkelip, mulutnya tidak berkata, dia bukan anak patung sebenar…”
Mudborn terus menarik perhatian peminat seram di seluruh Malaysia.
Mudborn mengangkat kisah seorang pereka permainan VR bernama Hsu-Chuan, yang membawa pulang anak patung tanah liat yang sudah pecah yang ditemuinya di sebuah rumah tinggal berhantu.
Isterinya, Muhua, seorang konservator artifak yang sedang hamil, menjadi semakin obses untuk memulihkan patung itu tanpa menyedari bahawa setiap sentuhan membangkitkan sesuatu yang lebih misteri.
Sejak patung itu memasuki rumah, pasangan terbabit mula diganggu kejadian aneh yang semakin hari semakin sukar dijelaskan. Dari bisikan halus hingga perubahan tingkah laku Muhua. Malah, ketenangan rumah tangga mereka juga semakin hilang, membuatkan penonton turut merasai tekanan dan ketakutan yang menyelubungi.
ARTIKEL BERKAITAN: Pengarah filem Azimat mahu tonjol sisi kreatif produksi Sarawak... "Tak semua kena kisah benar”
ARTIKEL BERKAITAN: ‘Malam Terlarang’ kutip RM11 juta, tembusi pasaran Singapura
Dalam keadaan semakin terdesak, Hsu-Chuan mendapatkan bantuan seorang bomoh dan psikik, Ah-Sheng yang akhirnya membongkar sejarah sumpahan patung tanah liat yang menakutkan itu. Tragedi silam dan dendam tidak berpenghujung antara rahsia yang menambah intensiti jalan cerita Mudborn.
Filem ini diterajui oleh pelakon berbakat besar termasuk Yang Yo-Ning iaitu pemenang Anugerah Golden Horse, serta bintang Hong Kong Cecilia Choi, Derek Chang, Puff Kuo dan Joanne Tseng.
Mudborn menggabungkan elemen VR, mistik tradisional, sumpahan purba dan gangguan supernatural dalam satu naskhah yang segar.
Gabungan antara dunia moden dan kepercayaan lama menjadikan filem ini mempunyai tekstur seram yang unik, bukan sekadar mengejutkan, tetapi juga membuatkan penonton terus berfikir.

Mudborn kini menjadi antara filem seram paling diperkatakan di pawagam.
Sebagai sebuah filem Taiwan, Mudborn membawa citarasa budaya Asia Timur yang jarang dilihat dalam filem arus perdana. Reka bentuk visual, kesan bunyi yang mendebarkan serta sinematografi yang terperinci menjadikan pengalaman menontonnya lebih memuaskan.
Dengan kejayaan luar biasa, Mudborn membuktikan bahawa filem seram Mandarin mampu menyaingi populariti filem tempatan termasuk kejayaan filem Malaysia seperti Malam Terlarang yang turut mencatat rekod membanggakan sebelum ini.
Mudborn bukan hanya menawarkan seram, tetapi juga pengalaman mendalam yang menggambarkan obsesi, fragiliti hubungan manusia dan ketakutan terhadap perkara yang tidak dapat dilihat.
Mudborn kini ditayangkan di seluruh pawagam Malaysia.


