GENRE seram yang tidak pernah kalah di pawagam menjadi faktor utama syarikat produksi, Faradale Media-M Sdn Bhd dari Sarawak tampil dengan sebuah filem yang menggabungkan elemen mistik dan konflik psikologi berjudul Azimat.
Penerbit merangkap pengarah, Kay Rezza Karim berkata, Azimat membawa kelainan kerana tidak hanya bergantung kepada ‘jump scare’, sebaliknya mengetengahkan sisi emosi manusia yang berdepan trauma dan tekanan hidup.
“Idea Azimat tercetus pada 2019 selepas saya berbincang dengan dua rakan penulis mengenai bagaimana kepercayaan, trauma dan nasib saling berkait. Kami mahu hasilkan cerita seram yang bukan sekadar menakutkan, tapi mencengkam emosi,” katanya.

Beberapa kejadian misteri berlaku sepanjang 37 hari penggambaran.
Filem ini mengisahkan seorang gadis bernama Hanna yang percaya seutas rantai azimat mampu mengubah nasib malangnya selepas berjumpa seorang bomoh Iban.
Lebih istimewa, keseluruhan produksi ini digerakkan oleh anak jati Sarawak termasuk pelakon utama seperti Dee Dee Aine Peter, Heidi Abyana, Fadzril Afandy dan Rushdi Mornie Daud.
Menurut Kay, penggunaan bahasa Melayu Sarawak, Iban dan Inggeris dipilih bagi mengekalkan keaslian latar budaya Bumi Kenyalang.
“Kami mahu tonjolkan Sarawak bukan sahaja cantik sebagai lokasi pelancongan, tetapi juga sebagai pusat penghasilan karya seni bermutu. Sebab itu keseluruhan penggambaran dibuat di sekitar Kuching,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Menjelang Magrib 2: Wanita Yang Dirantai buat penonton tak senang duduk, produksi alami kejadian misteri
ARTIKEL BERKAITAN: ‘Mantera’ papar ritual ‘Bobolian’ kaum Dusun di Sabah, pengarah kongsi kejadian seram ketika penggambaran
Kay turut menjelaskan mengapa Azimat dipilih sebagai karya rekaan dan bukannya diinspirasikan sepenuhnya daripada kisah benar yang berlaku di Sarawak.
“Sudah terlalu banyak filem yang diinspirasikan daripada kisah benar di Sarawak. Jadi saya mahu cuba sesuatu yang lebih komersial untuk sisi kreatif Sarawak.
"Filem sebelum ini seperti Sumpahan Jerunai pun diambil dari kisah benar kaum Melanau. Ya, penting untuk ada cerita sebegitu, tapi tidak terlalu banyak,” katanya.
Walaupun Azimat bukan berdasarkan peristiwa benar, unsur kepercayaan terhadap azimat dan tekanan psikologi yang dialami watak-wataknya tetap berpijak pada realiti masyarakat.
Pengarah Kay Rezza (tengah) bersama barisan pelakon filem Azimat.
Kay juga mengakui beberapa kejadian misteri berlaku sepanjang 37 hari penggambaran.
“Kami pernah dengar bunyi pelik, peralatan terganggu tanpa sebab dan beberapa kru alami pengalaman mistik. Apapun penggambaran berjalan lancar dan semua itu menjadi pengalaman berharga,” katanya.
Azimat sudah ditayangkan di pawagam seluruh negara sejak 27 November lalu.


