suria

Banduan kutip RM6 juta, raih tiga pencalonan di Festival Filem Antarabangsa Australia

Filem Banduan meraih RM6 juta kutipan di pawagam.

SELEPAS dua minggu ditayangkan di pawagam, filem aksi-thriller tempatan berjudul Banduan terus mengukuhkan kedudukannya apabila berjaya meraih kutipan box office sebanyak RM6 juta sekali gus mencipta sejarah sebagai filem olahan semula Tamil pertama di Malaysia yang mencapai angka tersebut.

Lebih membanggakan, filem arahan Kroll Azry itu turut mengharumkan nama negara di peringkat global apabila menerima tiga pencalonan utama di Festival Filem Antarabangsa Australia (IFFA), sebuah acara berprestij yang menjadi tumpuan pembikin filem serantau.

Pencalonan tersebut melibatkan kategori Filem Antarabangsa Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik (Datuk Aaron Aziz) dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Datuk Rosyam Nor). 

Filem Banduan mula ditayangkan di pawagam sejak 6 November lalu. 

Jurucakap Number Twenty One Media, Kalyana Devan menyifatkan,  kejayaan itu sebagai bukti bahawa karya tempatan mampu mendapat tempat di hati penonton luar jika dihasilkan dengan kualiti tinggi.

Katanya, penerimaan penonton terhadap Banduan sejak hari pertama tayangan sangat menggalakkan dan pencalonan di IFFA menjadi bonus untuk keseluruhan produksi.

“Kami amat berbangga dengan prestasi Banduan. Kejayaan ini membuktikan dedikasi barisan pelakon dan kru, serta memperlihatkan bahawa kisah tempatan yang dihasilkan dengan penuh semangat boleh berdiri megah di pentas dunia,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Gangguan misteri di set ‘Banduan’... Lori kerap meragam pukul 2 pagi, pengarah terpaksa panggil ustaz

ARTIKEL BERKAITAN: Demi komitmen kerja, Aaron Aziz tolak tepi rasa sakit… Enggan susahkan produksi

Sementara itu, wakil Dream Warrior Pictures, Kathiravan berkata, pencalonan yang diterima dianggap sebagai penghormatan besar terhadap usaha kolaborasi antara syarikat Malaysia dan India.

“Pengiktirafan daripada IFFA bagi kategori Filem Antarabangsa Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik adalah satu penghormatan besar terhadap usaha kerjasama antara Number Twenty One Media dan Dream Warrior Pictures,"katanya. 

Banduan kini terus kukuh di carta box office, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara filem tempatan paling berjaya tahun ini. 

Filem Banduan mengisahkan seorang banduan yang membantu pihak polis menumpaskan sindiket dadah.

Filem yang mula ditayangkan sejak 6 November lalu itu mengisahkan seorang banduan yang membantu pihak polis menumpaskan sindiket dadah dalam sebuah misi berbahaya.

Kisahnya menjadi lebih menyentuh apabila watak utama sedang dalam perjalanan untuk bertemu anak perempuannya.

Selain lakonan mantap Aaron dan Rosyam, Banduan turut dibintangi Datuk Afdlin Shauki, Husyairi Hussain, Fadhli Masoot dan Abi Madyan. 

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain

Bung Moktar meninggal dunia