suria

Bukan sekadar hiburan, filem Hayya 3: Gaza jadi suara perjuangan dan harapan rakyat Palestin

Filem Hayya 3: Gaza mengisahkan dua anak kecil yang penuh keberanian.

FILEM Hayya 3: Gaza bukan sekadar hiburan untuk keluarga, tetapi sebuah perjuangan kemanusiaan yang membawa suara solidariti terhadap rakyat Palestin.

Karya ini membawa suara solidariti terhadap rakyat Palestin yang kini terus menderita akibat konflik yang tidak berkesudahan.

Pengarahnya, Jastis Arimba berkata dia melalui pelbagai kesukaran dalam menghasilkan karya yang sarat dengan mesej penderitaan dilalui rakyat Gaza.

Oki turut membintangi filem ini.

Katanya lagi, sebelum filem ini memulakan penggambaran dia dan pasukannya berdepan kekurangan dana serta penolakan daripada beberapa pelakon yang bimbang penglibatan mereka dalam filem itu akan menjejaskan kerjaya mereka.

"Tidak semua orang berani menzahirkan pendirian mereka secara terbuka, tapi masih ramai yang menyokong perjuangan ini dengan cara tersendiri. 

"Malah, ada juga yang menyumbangkan dana tetapi memilih untuk merahsiakan identiti mereka demi menjaga kerjaya," katanya kepada mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Kagum karya Syamsul Yusof, Jastis Arimba harap ada filem tentang Palestin

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya perlukan wang, tapi tak mampu tipu diri” - Oki Setiana Dewi tolak tawaran produk diboikot

Namun, Jastis percaya bahawa dunia perfileman harus berfungsi sebagai saluran untuk menyebarkan kesedaran, bukan sekadar hiburan semata-mata. 

Sementara itu, pelakon dan pendakwah terkenal, Oki Setiana Dewi yang turut membintangi filem ini berkata penglibatannya bukan sekadar untuk berlakon, tetapi ingin membawa mesej penting kepada penonton. 

Menurut Oki, Hayya 3: Gaza bukan hanya bertujuan untuk membuka mata ramai mengenai situasi sebenar di Palestin, tetapi turut berfungsi sebagai medium bagi membantu rakyat Gaza daripada segi kewangan.

Amna Shahab yang membawa watak Hayya seorang kanak-kanak Palestin.

"Sebanyak 10% daripada hasil filem ini akan disumbangkan kepada Gaza. Ini bukan sekadar karya seni, tetapi ia adalah bentuk nyata daripada aksi kemanusiaan," katanya.

Lebih menarik, inisiatif ini turut melibatkan kerjasama dengan Cinta Gaza Malaysia, Malaysian Women’s Coalition For Al Quds And Palestine, Friends of Palestine serta Palestinian Cultural Organization, menjadikan filem ini sebagai usaha yang sangat berani dalam mengetengahkan isu penderitaan yang berlaku di Gaza kepada khalayak serantau.

Hayya 3: Gaza mengisahkan keberanian.

Hayya 3: Gaza mengisahkan perjalanan hidup seorang kanak-kanak bernama Abdullah Gaza yang kehilangan bapanya dan ditempatkan di rumah anak yatim. 

Di sana, dia bertemu dengan Hayya, seorang gadis Palestin yang menetap di Indonesia dan masing-masing pernah berdepan dengan insiden mengejutkan yang mengancam keselamatan mereka.

Selain Oki Setiana Dewi, filem ini turut dibintangi oleh Amna Shahab, Azamy Syauqi, Cut Syifa, Fauzi Baadila, Adhin Abdul Hakim dan Arafah Rianti.

Filem ini sudah ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia sejak 30 Oktober lalu.

 

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain