suria

Di Sebalik Kehebatan ‘KL Special Force’ Terselit Rencah Kelemahannya

Fattah Amin (tengah) memberikan lakonan yang tidak mengecewakan.

Filem: KL Special Force

Pengarah: Syafiq Yusof

Pelakon: Datuk Rosyam Nor, Syamsul Yusof, Fattah Amin, Sabrina Ali, Tania Hudson, Puteri Balqis, Josian Hogan, Ramona Zam Zam, Esma Daniel, Mahmud Ali Basha dan Shaharuddin Thamby.

Genre: Drama/Aksi

Durasi: 106 minit

Pengedar: Skop Productions Sdn. Bhd.

Tarikh Tayangan: 8 Mac 2018

SEBAGAI salah seorang pembikin filem mewakili generasi baharu, Syafiq Yusof ternyata tahu bagaimana hendak menawan hati penonton hari ini menerusi karya-karyanya sejak muncul dengan filem cereka pertamanya, SAM: Saya Amat Mencintaimu kira-kira lima tahun lalu.

Bahkan, dalam usianya yang hanya baru 25 tahun, bekas pemenang Pengarah Harapan Festival Filem Malaysia Ke-25 ini sudah pun mengarahkan tujuh buah filem cereka yang mana kesemuanya mencatatkan kutipan pecah panggung.

Pastinya, ia adalah satu pencapaian yang cukup membanggakan kerana bukan mudah untuk seorang pengarah muda seperti Syafiq memiliki portfolio kemas seperti itu. Semestinya, jika bukan kerana bapanya, Datuk Yusof Haslam, Syafiq sendiri tidak akan memiliki apa yang sudah dikecapinya seperti hari ini.

Selepas berjaya dengan filem pecah panggung, Abang Long Fadil 2 tahun lalu yang kini menjadi filem paling laris di Malaysia sepanjang zaman dengan kutipan RM18.15 juta, Syafiq kini menghadiahkan karya baharunya, KL Special Force buat penonton tempatan yang memulakan tayangannya 8 Mac lalu.

Masih lagi berteraskan genre aksi tetapi lebih terarah kepada unsur drama yang serius, KL Special Force dilihat sebagai sebuah karya yang penulis anggap menepati cita rasa kaki wayang ketika ini.

Sesuatu yang membuatkan penulis tersenyum gembira apabila barisan pelakon filem ini dilihat sebagai seimbang dengan menggabungkan bakat baharu dan lama sekaligus menampakkan variasi dan tidak hanya tertumpu kepada pelakon baharu yang baru hendak meniti populariti semata-mata.

Penulis yang berkesempatan menonton KL Special Force minggu lalu meletakkan filem ini dalam kategori filem bertih jagung (popcorn movie) yang menyajikan babak aksi dan dramatik yang cukup didambakan oleh penonton yang menggemari genre seperti ini.

Satu yang pasti, meskipun ada yang berpendapat, KL Special Force setanding dengan filem-filem aksi terbitan Hollywood, namun, untuk penulis filem ketujuh arahan Syafiq ini ada kekurangannya juga. Waima apa keadaan sekalipun, untuk berada setanding mahupun setaraf dengan karya Hollywood, masih jauh perjalanan filem tempatan.

Mahu atau tidak, penulis harus katakan bahawa KL Special Force dari sudut pandang sebagai seorang pengkritik filem tidak memiliki keaslian atau originality kerana tema dan naratif filem tentang polis baik dan polis jahat sudah banyak kali dipaparkan dalam filem-filem luar negara.

Namun, untuk mengambil dalam konteks pembikinan filem tempatan, ia boleh dikatakan sebagai segar dan sebagai pengkarya, Syafiq wajar mendapat markah tambahan untuk itu kerana berani menggarap sebuah cerita kepolisan Malaysia dari perspektif baharu.

Bukan untuk memperlekehkan atau memperkecilkan apa yang telah dilakukan oleh Yusof Haslam menerusi jenama Gerak Khas dan siri televisyen sebelumnya, tetapi, sekurang-kurangnya KL Special Force hadir dengan satu nafas baharu walaupun keaslian ceritanya boleh dipertikaikan.

Pada usianya 51 tahun, Datuk Rosyam Nor masih mampu menjayakan filem aksi seperti ‘KL Special Force’.

Dalam erti kata lain, KL Special Force telah meruntuhkan satu acuan stereotaip yang selama ini sudah terlalu lama dipersembahkan dalam siri kepolisan Gerak Khas seiring dengan situasi dan penontonan semasa dalam kalangan generasi muda.

Jika mereka yang mengikuti perkembangan Syafiq sebagai pembikin, pastinya sedar akan garapan cerita yang dihasilkannya berbeza dengan acuan filem konvensional lazimnya. Lihat sahaja bagaimana anak muda ini menghasilkan lakon layar dan cerita SAM yang penulis anggap sebagai karya di luar kotak meski dalam acuan cerita cinta.

Begitu juga dengan filem Desolasi yang bermain dengan tema yang berat tetapi dibikin dengan satu pendekatan yang dapat menghubung kaitkan dengan mainan jiwa dan emosi dalaman seorang manusia dalam dunia realiti.

Percubaan Tidak Menghampakan

Syafiq masih meneruskan legasinya itu dengan memberikan satu putaran cerita yang penulis anggap sebagai percubaan yang tidak menghampakan dan boleh diterima terutama apabila menggunakan premis tentang anggota polis dan pemainan manipulasi minda terhadap mereka.

Malah, penulis melihat situasi memanipulasi minda itu sebagai satu metafora kepada anggota polis di negara ini yang berhadapan dengan pelbagai perkara menyulitkan mereka sehingga tugas mereka itu juga seringkali diperlekehkan dan dipandang serong oleh masyarakat.

Aksi Syafiq Yusof memberikan arahan sewaktu di lokasi penggambaran filem KL Special Force.

Dalam erti kata lain, tema rasuah yang diketengahkan dalam KL Special Force itu tidak hanya tertumpu kepada kebendaan dan wang ringgit (dalam konteks ini, ia divisualkan menerusi situasi yang dialami oleh Roslan yang dilakonkan oleh Datuk Rosyam Nor).

Tetapi, terma rasuah itu juga sebenarnya adalah daripada permainan kata, hasutan dan janji-janji manis yang ditabur sehingga ia memakan diri sendiri untuk mendorong sesuatu di luar jangkaan dan norma sebagai seorang manusia normal.

Pun begitu, masalah KL Special Force mula timbul apabila impak cerita dan visual itu kurang dirasai lalu tidak membuatkan penonton merasai pengalaman yang seharusnya dicipta di sebalik permainan cerita itu.

Sehinggakan ada beberapa babak dan adegan yang dizahirkan di layar perak dilihat seperti tidak masuk akal dan memperlihatkan plot cerita itu berusaha keras mahu dijadikan sempurna.

Walhal, kelompongan cerita itu telah menimbulkan beberapa kekeliruan yang membuatkan penulis berkerut dahi memikirkannya lalu mengukir senyuman sinis.

Salah satu babak filem KL Special Force melibatkan watak Asyraff lakonan Syamsul Yusof (kiri) dan Zul (Fattah Amin).

Perkara ini melibatkan babak terakhir yang juga membuatkan penulis keliru dalam mempersoalkan hubungan sebenar antara watak Asyraff (Syamsul Yusof) dan Zul (Fattah Amin) apabila Roslan melihat reaksi dan ekspresi Zul apabila orang yang dicintainya dibunuh tanpa belas ihsan oleh Asyraff di hadapan matanya sendiri.

Barangkali babak berkenaan adalah satu kebetulan dalam hidup Roslan atau mungkin persamaan selepas pernah melalui situasi yang sama sewaktu zaman mudanya. Namun, ia masih lagi dipersoalkan dan barangkali ia adalah petanda bahawa KL Special Force akan memiliki filem prekuelnya.

Dalam masa yang sama, walaupun KL Special Force dilihat dalam acuan segar dan moden, akan tetapi, masih terdapat unsur-unsur sentuhan Yusof dalam babak-babak tertentu seperti mana dalam drama dan filem-filem arahannya sebelum ini terutama skrip.

Babak-babak ini juga terutama melibatkan masalah rumah tangga antara Roslan dan isterinya, Diana (Sabrina Ali) memaparkan skrip dan dialog yang begitu klise dan sedikit sebanyak merencatkan penontonan sehingga ada beberapa kelompok penonton yang ketawa menonton babak berkenaan.

Adalah lebih baik untuk penulis tidak bercerita lanjut tentang KL Special Force kerana tidak mahu menghilangkan kejutan buat mereka yang masih belum berkesempatan menontonnya.

Tahniah Buat Rosyam

Menyentuh tentang aspek lakonan pula, penulis harus memberikan sekalung tahniah buat Rosyam kerana membuktikan 'hero tua' yang pernah diberikan kepadanya ada signifikan tersendiri.

Filem KL Special Force dibintangi oleh pelakon generasi baharu dan lama iaitu Syamsul Yusof, Rosyam Nor dan Esma Daniel.

Siapa sangka, dalam usianya yang sudah melepasi separuh abad, bekas pemenang Pelakon Lelaki Terbaik FFM dua kali ini masih mampu beraksi dalam filem seperti KL Special Force sekali gus membuktikan penangan Rosyam sebagai aktor berkaliber masih utuh.

Seperti mana yang pernah penulis katakan sebelum ini tentang Syamsul, rasanya tidak perlu mengulas lanjut kerana Syamsul masih seperti Syamsul yang sama dalam filem-filem terdahulu. 

Baik watak protagonis mahupun antagonis, acuan Syamsul tetap sama kerana watak Asyraff tidak memberikan sebarang impak untuk penulis.

Walaupun kali pertama membintangi filem cereka, Fattah yang sebelum ini dikritik dan dilabelkan sebagai pelakon kayu telah memberikan lakonan yang tidak mengecewakan. 

Watak Zul telah dijayakan dengan baik oleh Fattah walaupun bukanlah berada dalam kategori terbaik dan beliau masih mempunyai ruang serta waktu untuk terus memperbaiki skil lakonannya.

***Penulis merupakan pemenang Anugerah Kewartawanan Kritikan Filem, Anugerah Kewartawanan Industri Filem Malaysia 2017 dan bekas wartawan hiburan. Penulis juga graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi tanpa dipengaruhi sesiapa.


Artikel Berikut

Artikel Lain