suria

Tak Kerut Dahi Tonton 'Wonder Woman'

Filem cereka pertama 'Wonder Woman' berjaya dalam segenap aspek menjadikan ia sebuah filem blokbuster berjaya untuk musim panas tahun ini.

Filem: Wonder Woman

Pengarah: Patty Jenkins

Pelakon: Gal Gadot, Chris Pine, Robin Wright, David Thewlis, Connie Nielsen, Danny Huston dan Elena Anaya

Genre: Aksi

Durasi: 137 minit

Pengedar: Warner Bros. Pictures

Tarikh Tayangan: 1 Jun 2017

PERCAYA atau tidak, sejak penulis di sekolah menengah lagi, berita tentang pembikinan filem cereka Wonder Woman sudah bertebaran. 

Lebih mengujakan penulis ketika itu, nama bekas pemenang Oscar, Sandra Bullock antara calon utama yang disebut-sebut untuk memegang watak adiwira wanita terawal ciptaan DC Comics itu. 

Apatah lagi, Bullock merupakan pelakon popular ketika itu lalu menyebabkan pihak penerbit merasakan beliau layak membawakan watak berkenaan untuk menarik perhatian penonton dan peminat ke pawagam. 

Ditambah pula, penulis merasakan Wonder Woman tidak mendapat penghormatan sewajarnya untuk dizahirkan ke layar perak jika hendak dibandingkan dengan dua sekutu popularnya, Batman dan Superman yang ketika itu sudah diterbitkan dalam beberapa buah filem. 

Keserasian antara Gal Gadot (kanan) dan Chris Pine menyerlah dan terasa impaknya.

Jika ada sekali pun, Wonder Woman pernah mewarnai skrin televisyen (TV) menerusi sebuah filem TV dan seterusnya dilangsungkan menerusi siri TV selama tiga musim pada pertengahan tahun 70-an dengan menampilkan Lynda Carter sebagai teraju utamanya. 

Namun, masa berlalu dan projek filem Wonder Woman dimatikan begitu sahaja walaupun cerita tentangnya masih disebut-sebut setiap tahun. 

Hanya selepas dua dekad, nama Wonder Woman kembali menjadi sebutan dan bukan lagi satu mimpi, akhirnya adiwira yang mengubah landskap penerbitan komik di Amerika Syarikat itu muncul buat pertama kalinya menerusi filem Batman v Superman: Dawn of Justice (2015). 

Kemunculan istimewa Wonder Woman yang dilakonkan oleh aktres dan model kelahiran Israel, Gal Gadot dalam filem berkenaan mendapat maklum balas positif lalu memberikan petanda bahawa filem cereka pertamanya akan menjadi realiti. 

Dua tahun berlalu, kini, Wonder Woman dizahirkan sepenuhnya dalam filem cereka yang diarahkan oleh pengarah wanita, Patty Jenkins (Monster, 2003) dan ditayangkan bermula minggu lalu. 

Jujurnya juga, sebelum Wonder Woman menjengah pawagam, terbit rasa bimbang seandainya ia mengalami nasib malang seperti mana Batman v Superman: Dawn of Justice dan Suicide Squad (2016) yang juga berada di bawah galaksi serupa, DC Extended Universe (DCEU). 

Diana Prince atau Wonder Woman bersama pasukannya selepas menewaskan musuh di medan perang.

Ternyata, telahan itu silap apabila penulis berpendapat Wonder Woman telah diberikan penghormatan yang sewajarnya daripada DC Films selaku penerbit apabila ia menjadi filem terbaik dalam kelompok DCEU. 

Wonder Woman berjaya menterjemahkan sebuah cerita yang memang sepatutnya dilakukan dari awal oleh DCEU dalam memperkenalkan satu watak yang berdiri dengan sendirinya. 

Dalam erti kata lain, Wonder Woman berjaya menebus kesilapan yang telah dilakukan sebelum ini apabila Batman v Superman: Dawn of Justice dan Suicide Squad gagal mendapat kritikan positif walaupun mencatatkan keuntungan berlipat ganda. 

Kecemerlangan Wonder Woman terletak kepada lakon layarnya yang seimbang, realistik dalam beberapa aspek dan memiliki momentum yang berjaya membuatkan penonton terus melekat di tempat duduk tanpa rasa gelisah. 

Memang tidak dinafikan, ada momen tertentu penulis sifatkan sebagai perlahan tetapi ia tidak menerbitkan rasa bosan kerana setiap babak ada kepentingannya dari sudut penceritaan. 

Wonder Woman berjaya mengadunkan formula konvensional dan moden dalam menterjemahkan ceritanya kepada khalayak. 

Konvensional yang penulis maksudkan di sini adalah bagaimana Zack Snyder, Allan Heinberg dan Jason Fuchs selaku pencerita menggunakan peluang yang diberikan semaksimumnya untuk bercerita tentang kelahiran Diana Prince atau Wonder Woman dan kekuasaan serta kekuatan yang dimiliki itu secara keseluruhannya. 

Dalam erti kata lain, ia memudahkan audiens untuk menghadam plot ceritanya tanpa perlu berkerut dahi memikirkan elemen yang tidak sepatutnya. 

Penulis melihat formula ini seperti mana yang pernah dilakukan oleh seteru DC Films iaitu Marvel Studios menerusi filem Captain America: The First Avenger (2011). 

Sudut moden yang penulis sebutkan di atas pula lebih merujuk kepada teknik pengarahan oleh Jenkins yang berjaya mengangkat martabat Wonder Woman sebagai seorang adiwira dan pejuang wanita dari sudut positif. 

Babak aksinya pula terasa cukup walaupun penulis seperti mahukan lebih lagi babak tersebut. 

Namun, untuk filem pertama ini, semuanya terkawal dan berada dalam skala yang diperlukan tanpa terlalu berlebih-lebihan. 

Justeru, apabila dua formula ini bersatu dengan sempurna, maka, ia telah menghasilkan satu santapan enak yang cukup segala rencahnya. Disebabkan itu, selepas menonton Wonder Woman, penulis berpendapat filem ini memang hadir tepat pada waktunya. 

Bagi mereka yang belum menyaksikan Wonder Woman, misteri kemunculan watak Sir Patrick Morgan lakonan David Thewlis ini akan terungkai.

Penulis sendiri tidak dapat membayangkan seandainya Wonder Woman diterbitkan pada tahun 90-an seperti mana yang pernah dirancang sebelum ini. 

Jika itu berlaku, penulis tidak menolak kemungkinan hasilnya mungkin tidak akan sebaik seperti mana sentuhan Jenkins ini. 

Dari perspektif lain pula, memang sewajarnya Wonder Woman mendapat sentuhan pengarah wanita dan sebagai seorang sutradara yang hanya pernah mengarahkan sebuah filem cereka sahaja sebelum ini, Jenkins telah melunaskan tanggungjawabnya seperti mana yang diharapkan. 

Penulis hanya perlu katakan ini, hanya wanita sahaja yang memahami diri wanita yang sebenar dan disebabkan itu, Jenkins telah memberikan hasil kerja melebihi jangkaan biarpun Wonder Woman pernah ‘difitnah’ apabila ada pihak menyebarkan khabar angin mengatakan penghasilannya setaraf dengan dua filem DCEU sebelum ini.

Ternyata, Jenkins telah menutup mulut ramai pihak yang skeptikal dengan kewibawaannya mengarahkan filem berbajet besar – kos Wonder Woman adalah sebanyak AS$150 juta (RM639 juta) dengan menghadirkan Wonder Woman dalam liganya tersendiri. 

Pastinya, Wonder Woman tidak menjadi jika Gadot tidak memberikan lakonan cemerlang dalam menghidupkan watak berkenaan di layar. 

Pemeran watak antagonis dalam filem Wonder Woman, Erich Ludendorff (David Huston – kiri) dan Isabel Maru atau Doctor Poison (Elena Anaya).

Biarpun bukan bertaraf Oscar, Wonder Woman di tangan Gadot hidup dan membuktikan bahawa Gadot adalah pilihan tepat. 

Gadot tidak memiliki ciri-ciri wanita tipikal yang mampu mengundang rasa tidak senang duduk di kalangan penonton lelaki tetapi dia memiliki karisma dan personaliti yang melayakkannya memegang watak Diana Prince dan Wonder Woman. 

Bahkan, keserasiannya bersama pasangan lakonnya, Chris Pine yang memegang watak sebagai Kapten Steven Trevor juga menjadi dan tidak kelihatan canggung setiap kali mereka muncul bersama di skrin. 

Apa yang pasti, Wonder Woman akan kembali menerusi filem-filem susulannya tetapi wanita besi ini akan muncul terlebih dahulu bersama Batman, Superman, Aquaman, Cyborg dan Flash dalam filem Justice League pada 17 November ini.

*** Penulis adalah bekas wartawan hiburan dan graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi penulis tanpa dipengaruhi sesiapa.

Wonder Woman, Gal Gadot

Artikel Sebelum

Artikel Lain