suria

‘Diary of a Wimpy Kid: The Long Haul’ Tak Kelakar Pun!

Filem 'Diary of a Wimpy Kid: The Long Haul' tidak dapat menyaingi tiga filem terdahulu lalu terutama dari sudut kutipan tiket.

FILEM: Diary of a Wimpy Kid: The Long Haul

PENGARAH: David Bowers

PELAKON: Jason Drucker, Owen Asztalos, Charlie Wright, Alicia Silverstone dan Tom Everett Scott

GENRE: Komedi

DURASI: 92 minit

PENGEDAR: 20th Century Fox

TARIKH TAYANGAN: 25 Mei 2017

APABILA berbicara tentang filem komedi, pastinya elemen utama yang perlu dititik beratkan adalah unsur humor yang berkesan untuk menggeletek audiens tatkala menontonnya. 

Pun begitu, bukan semua genre komedi mampu membuatkan audiens ketawa terbahak-bahak sehingga mengalirkan air mata dan semuanya bergantung kepada jenis komedi yang dipersembahkan. 

Sebagai contoh, jika ia sebuah filem komedi romantik yang berjaya, ia pasti mampu membuatkan audiens tersenyum sendirian dan terasa seperti di awang-awangan. 

Namun, untuk sebuah komedi situasi pula, ada beberapa faktor yang menyumbang ke arah untuk membentuknya menjadi sebuah filem yang berjaya seperti situasi, persekitaran, dialog dan juga lakonan. 

Jika faktor yang disebutkan di atas tidak terjalin dengan baik, maka, ia akan kelihatan seperti sebuah filem yang dibikin untuk memaksa audiens ketawa dengan persembahnnya.

Charlie Wright (kiri) dan Jason Drucker masing-masing membawakan watak sebagi Rodrick dan Greg.

Malangnya, inilah yang terjadi kepada filem Diary of a Wimpy Kid: The Long Haul yang merupakan filem keempat dalam siri filem Diary of a Wimpy Kid.

Menyentuh sedikit tentang siri filem ini, ia mula diperkenalkan kepada khalayak dengan filem pertamanya, Diary of a Wimpy Kid pada tahun 2010.

Kemudian, diikuti dengan dua sekuelnya, Diary of a Wimpy Kid: Rodrick Rules (2011) dan Diary of a Wimpy Kid: Dog Days (2012) yang mana kesemua filemnya mencatatkan kutipan tiket pada skala sederhana sahaja.

Mula ditayangkan di pawagam tempatan minggu lalu, ternyata filem arahan David Bowers ini bukan sahaja gagal mempersembahkan komedi yang sepatutunya tetapi keseluruhannya ia kelihatan seperti sebuah filem yang palsu.

Takrifan palsu yang penulis maksudkan di sini lebih merujuk kepada permasalahan utama filem ini di mana para pelakonnya langsung tidak mempunyai keserasian dalam membawakan watak masing-masing.

Keserasian para pelakon dalam filem Diary of a Wimpy Kid: The Long Haul tidak dirasai lalu menjadikannya sebagai sebuah karya hambar.

Ia seolah-olah kelihatan setiap seorang daripada pelakonnya berlakon dengan diri mereka sendiri lalu membuatkan elemen kekeluargaan yang sepatutnya menjadi tunjang utama filem ini langsung tidak terjalin dengan baik.

Disebabkan itu, barulah penulis faham mengapa The Long Haul gagal di pasaran dan tidak berupaya menarik perhatian audiens di AS terutamanya kelompok peminat filem ini sendiri.

Majoritinya berpendapat The Long Haul sepatutnya mengekalkan para pelakon asal daripada tiga filem sebelumnya kerana audiens dan peminat sudah serasi dengan perwatakan mereka.

Namun, seperkara yang tidak boleh dihalang dan diubah apabila para pelakon utama asalnya sudah meningkat usia lalu membuatkan penerbit merasakan mereka tidak lagi layak membawakan watak-watak berkenaan.

Pun begitu, dari sudut pandang penulis, jika bertukar ganti pelakon sekalipun yang merupakan senario biasa dalam dunia perfileman, perkara utama adalah kebijaksanaan pemain wataknya mewarnakan watak masing-masing.

Dua pelakon terkenal era 90-an, Alicia Silverstone (kiri) dan Tom Everett Scott membawakan watak Susan dan Frank.

Dalam konteks The Long Haul, kesilapan utama barangkali terletak kepada pemilihan pelakon yang tidak berupaya meletakkan diri mereka pada kedudukan lebih baik daripada pelakon asal.

Untuk penulis, watak Rodrick Heffley (lakonan Charlie Wright) adalah paling menjengkelkan dan tidak menjadi kerana kelihatan dia terlalu mencuba untuk menjadi watak seorang remaja kurang cerdik dan dalam masa sama mahu menjadi eksentrik.

Dalam satu aspek, penulis tidak menolak sisi positif jalan ceritanya yang berkisarkan tentang permasalahan yang berlaku dalam duni hari ini terutama melibatkan zaman digital.

Sesuatu yang boleh dipuji apabila ceritanya tentang kesungguhan seorang isteri dan ibu, Susan Heffley (Alicia Silverstone) yang mahu mendedahkan dan mendidik anak-anaknya tentang kepentingan kasih sayang serta ikatan kekeluargaan.

Sementelah, anak-anaknya, Rodrick dan Gregory atau Greg (Jason Drucker) begitu taksub dengan gajet, teknologi dan perkara seangkatannya membuatkan Susan mahu memperbetulkan semula fungsi sebuah keluarga itu sendiri.

Salah satu adegan filem Diary of a Wimpy Kid: The Long Haul yang kini ditayangkan di pawagam tempatan.

Disebabkan itu, Susan tekad dengan keputusannya untuk membawa anak-anak dan suaminya, Frank (Tom Everett Scott) pulang ke kampung halamannya dalam satu pengembaraan yang disangkanya dapat memulihkan kembali hubungan mereka anak-beranak.

Namun, sepanjang pengembaraan mereka itu, pelbagai insiden ditempuhi mereka sehingga Susan sendiri berasa putus asa tetapi diberikan sokongan dan kekuatan oleh Greg dan Frank.

Seperti mana yang penulis katakan, situasi turut memainkan peranan penting untuk mewujudkan suasana komedi dalam menggeletek audiens sama ada ia dilakukan dengan bijak atau sebaliknya.

Situasi komedi yang berlaku dalam The Long Haul kebanyakannya seperti sudah biasa ditonton dan disebabkan itu, penulis hanya mampu mengukir senyum sumbing kerana kelucuan itu tidak memberikan impak.

Mungkin untuk mereka yang sekadar mahu melepaskan tekanan daripada kehidupan seharian, The Long Haul boleh menjadi alternatif dalam berhibur.

Sisi positif lain filem ini juga apabila ia tidak mempunyai unsur negatif keterlaluan seperti filem komedi situasi dewasa lain yang menjadikannya sesuai untuk tontonan seisi keluarga.

***Penulis ialah bekas wartawan hiburan dan graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi penulis tanpa dipengaruhi sesiapa.

Artikel Lain