BAHAGIAN 1UMPAMA hukum 'tersirat' yang menjadi trend dalam dunia muzik, penyanyi lama yang mahu aktif semula perlu ada lagu baharu. Biarpun mereka sudah memiliki katalog lagu hits yang pernah fenomena dan masih menjadi siulan ramai, penghasilan lagu baharu bagaikan syarat wajib untuk comeback.Antara bintang lama yang terus aktif menawarkan karya terbaharu untuk tahun ini termasuklah Datuk Khadijah Ibrahim dengan lagu Ibu Doa, X-Factor (Walu Walu), Mila Jirin (Tersimpan Dalam Hati), Elly Mazlein (Now U Know), Naqiu (Adanya Kau Di Sini), Ezad Lazim (Rasa Cinta), Hazami (Renjana Jiwa), Amelina (Sayang Memang Sayang), Tomok (Buah Hati) dan Yusry (Jiwa & Raga).Dari kiri: Emma Suhaimi, Elly Mazlein dan Mila Jirin antara penyanyi yang membuat comeback pada tahun 2026.Malangnya, kebanyakan lagu baharu daripada penyanyi lama dilihat kurang memberikan impak pada populariti atau kesinambungan kerjaya mereka.Rata-rata penyanyi lama terus hidup di pentas persembahan dengan lagu-lagu malar segar mereka yang masih menjadi permintaan para penganjur acara.Maka, apa silap lagu baharu? Walhal, inisiatif mereka itu logik dan wajar dilakukan. Ia sebagai simbolik kerelevanan mereka, selain menjadi buah tangan untuk peminat.Artis perlu kerja keras bina jenama diri - Noraniza IdrisMengulas isu ini, Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris berpendapat kejayaan lagu baharu yang dihasilkan artis lama sukar diramal sama ada mampu pergi jauh atau sebaliknya kerana banyak faktor perlu diberi perhatian.Menurut Noraniza, 58, artis lama perlu bekerja lebih keras dengan turun padang, membina semula penjenamaan diri dan tidak hanya bergantung kepada syarikat rakaman untuk menguruskan segala aspek berkaitan karya mereka.Noraniza anggap tiga bulan pertama selepas keluar lagu ialah tempoh paling penting.“Pengalaman sebelum ini menunjukkan artis lama kena bekerja keras dan turun padang. Kena kuatkan branding diri sendiri dan jangan berpuas hati setakat syarikat rakaman sediakan semuanya.“Pasaran dan cara memasarkan sekarang sudah jauh berbeza berbanding dahulu. Kena terima hakikat bahawa kita perlu banyak penaja dan menggunakan kewangan sendiri untuk membangunkan produk.“Kempen tiga bulan pertama selepas lagu dilancarkan memerlukan perhatian. Pemantauan dan perbincangan juga kena sentiasa dibuat. Matlamat akan tercapai apabila kita fokus,” kongsinya yang kini mempromosikan lagu terbaharu, Salam Kaut.ARTIKEL BERKAITAN: Demi eksklusiviti Naqiu hanya 'keluar' jika ada lagu baharuARTIKEL BERKAITAN: “Tak rindu ke?” - Amelina harap dangdut tidak dipinggirkan, diberi ruang sertai pertandinganDalam pada itu, Noraniza berkata cerita di sebalik sesebuah karya juga penting bagi membantu pendengar memahami mesej yang ingin disampaikan, selain penampilan dan visual yang selari dengan imej baharu artis.“Orang sekarang suka berbincang secara berjemaah di media sosial. Jadi, jangan mudah melatah. Foto, busana, kulit single, muzik video dan persembahan pentas perlu membawa mesej yang seiring dengan lagu.“Orang perlu tahu jenama lama sedang dibangunkan semula dengan pendekatan yang lebih mesra dengan keadaan sekarang,” jelasnya.Ezad Lazim akui lagu lama lebih tinggi permintaanDalam pada itu, penyanyi Ezad Lazim mengakui lagu-lagu lamanya masih mendapat permintaan lebih tinggi berbanding karya baharu ketika membuat persembahan.Bagaimanapun, Ezad melihat perkara tersebut sebagai satu kelebihan kerana karya terdahulu masih diingati dan menjadi pilihan peminat untuk dinyanyikan dalam persembahan."Untuk permintaan ketika persembahan, memang diakui lagu-lagu lama masih kuat jika dibandingkan dengan lagu baharu."Bagi saya, ini satu kelebihan kerana masih berpeluang dan ada permintaan untuk saya mempersembahkan karya-karya yang terdahulu."Saya pandang ini satu kelebihan dan ini sebenarnya yang diinginkan oleh semua penggiat seni," luahnya.Ezad memandang positif sekiranya peminat masih mahu mendengar lagu-lagu lama.Pada masa sama, Ezad tidak melihat penerimaan terhadap karya baharunya ketika ini sebagai penamat sebaliknya percaya lagu tersebut mungkin mendapat tempat pada masa akan datang.Menurutnya, karya yang dihasilkan hari ini berkemungkinan menjadi pilihan generasi akan datang, sekali gus menjadi peninggalan buat keluarga serta peminatnya."Saya juga memandang ke depan, mungkin sekarang ini karya-karya terbaru tidak mendapat tempat, siapa tahu pada masa-masa yang mendatang."Karya-karya ini mungkin menjadi karya pilihan generasi yang seterusnya. Mungkin pada masa itu saya sudah tidak berkarya atau sudah tiada."Sekurang-kurangnya ada karya yang saya tinggalkan untuk generasi mendatang, buat anak, anak cucu dan cicit saya," katanya.Amelina akui sukar popularkan lagu baharuAmelina masih yakin pada peranan media konvensional untuk promosi lagu.Ratu Dangdut, Amelina berkata, bukan tugas mudah untuk mempopularkan naskhah baharu memandangkan sebahagian besar peminat masih tebal dengan nostalgia lagu-lagu hits lamanya.Pemilik nama sebenar Norazlina Amir Sharipuddin, 52, berkata, cabaran fasa kemunculan semula adalah untuk meyakinkan peminat dengan lagu-lagu baharu.Bagaimanapun, Amelina enggan mengalah dan cuba mempertaruhkan lagu berjudul Sayang Makin Sayang yang dilancarkan Jun lalu selepas lapan tahun tidak merakamkan lagu baharu.“Saya tak nafikan untuk popularkan lagu baharu ini agak susah, pendengar masih lagi mahu mendengar lagu-lagu lama yang sudah sebati dengan mereka.“Tetapi apabila saya menyanyikan lagu baharu ini di pentas, peminat tetap memberikan sokongan dan berhibur bersama. Itu yang membuatkan saya rasa pengorbanan membuat comeback selepas lapan tahun berbaloi,” katanya yang popular dengan lagu-lagu seperti Rindu dan Asyik.Amelina turut menekankan, artis senior masih memerlukan sokongan media konvensional seperti radio dan televisyen untuk kekal bernafas, meskipun platform digital kini menjadi medium utama promosi.“Ada yang kata zaman sekarang tidak perlukan media elektronik kerana sudah ada media sosial, tetapi bukan bagi saya sebagai orang lama.“Bagi penyanyi otai yang buat lagu baharu, saluran mana lagi yang kami ada? Jadi bila masih mendapat sokongan daripada rakan media dan stesen penyiaran, saya berasa sangat bersyukur,” ulasnya.Naqiu anggap penghasilan lagu baharu adalah evolusi yang bertembung dengan nostalgia lagu lamanya.Naqiu - Artis perlu berani bereksperimenSementara itu, penyanyi Naqiu melihat fenomena comeback artis lama dari dua sudut berbeza iaitu nostalgia peminat dan evolusi seseorang pengkarya.Menurut Naqiu, artis yang kembali menghasilkan karya baharu perlu berani bereksperimen dalam muzik selain terus memperbaiki teknik vokal, penghayatan serta menghasilkan idea segar agar karya mereka kekal relevan."Ada dua sudut pandangan berbeza, pertama adalah nostalgia dan evolusi. Bagi pihak pengkarya, mereka mahu cuba perkara baharu untuk bereksperimen dalam muzik. "Dalam masa sama perlu memperbaiki teknik vokal, penghayatan dan sentiasa ada idea baharu untuk dimasukkan dalam lagu. "Bagi peminat pula, nostalgia itu lebih penting. Contohnya lagu Boboy, Episod Cinta dengan suara dan penampilan itu, bila peminat dengar lagu baharu pun mereka masih memikirkan tentang era 'Episod Cinta'. Bagaimanapun, Naqiu berkata peminat lazimnya lebih cenderung kepada elemen nostalgia dan mengharapkan artis kegemaran mereka mengekalkan aura karya yang pernah mencetuskan populariti suatu ketika dahulu."Bila artis menghasilkan lagu baharu, peminat jangkakan pengulangan daripada era Episod Cinta itu atau aura daripada lagu itu masih ada. "Tapi bagi pengkarya, kami perlu sentiasa berevolusi tak boleh hanya melakukan perkara sama selama-lamanya bagi merangsang kreativiti dalam setiap karya. "Jadi itulah yang terjadi sekarang, pertembungan antara nostalgia dan evolusi seorang pengkarya," jelasnya.Marsha 'langgar saja' keluar lagu baharuSituasi berbeza pula dialami oleh Marsha Milan apabila hampir kesemua lagu yang dipertaruhkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini mendapat tempat di hati peminat dan mencetuskan fenomena tersendiri.Bermula dengan kejayaan luar biasa lagu Cinta pada 2021, Marsha terus mengukuhkan posisinya menerusi karya hebat seperti Kembali Terang, Hening Rindu dan Tangisan Seorang Pendosa.Menurut Marsha, 41, dia sebenarnya tidak mempunyai perancangan khusus mahupun meletakkan sasaran terlalu tinggi setiap kali melancarkan lagu.Marsha percaya ada pendengar yang hargai perjuangan muziknya.“Kejayaan yang saya raih hari ini adalah hasil pendekatan 'langgar sahaja' tanpa meletakkan penanda aras bahawa karya itu wajib tular atau menang anugerah.“Pengalaman sepanjang 20 tahun ini, walaupun ada ketika orang tidak melihat saya sebagai penyanyi, saya tetap menggunakan wang poket sendiri untuk melancarkan lagu demi mencari naskhah yang benar-benar serasi dengan karakter dan DNA vokal Marsha Milan.“Pernah orang kata lagu saya bukan untuk pasaran yang besar, tetapi saya percaya kita ada kelompok pendengar yang menghargai variasi muzik berbeza,” kongsinya. Mengulas mengenai rahsia kekal relevan, Marsha mendedahkan sikap gemar bergaul rapat dengan tenaga produksi belakang tabir banyak membuka matanya terhadap perkembangan teknikal muzik masa kini.Marsha juga berpendapat, penyanyi senior perlu berani keluar daripada zon selesa dan mendalami kehendak pasaran muzik moden daripada terus terikat dengan cara kerja silam.