suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

“Kami tak layak“ - Syed Saddiq dan Bella Astillah mohon jangan disamakan dengan kisah Tun Mahathir dan Allahyarham Tun Hasmah

Kenangan Syed Saddiq (kiri) bersama Allahyarham Tun Hasmah (tengah) dan Bella.

AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengakui tidak selesa apabila hubungan bersama bakal isterinya, Bella Astillah, dibandingkan dengan pasangan negarawan, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

Menurut Syed Saddiq, perbandingan tersebut terlalu jauh memandangkan dia dan Bella baru sahaja hendak memulakan kehidupan sebagai suami isteri.

“Saya rasa kami tidak layak untuk dibandingkan dengan Allahyarhamah dan Tun Dr Mahathir. Tidak dekat pun, malah tidak sampai satu peratus kerana kalau kita lihat jasa mereka, ia memang luar biasa.

Saddiq dan Bella segan mereka disamakan dengan kisah dua negarawan itu.

“Saya tahu mungkin ada yang kata bukan daripada sudut sumbangan kepada negara, tetapi daripada sudut cinta. Itu pun saya rasa kami tidak layak.

“Kami ini baru hendak berkahwin dan menghalalkan hubungan. Mereka pula sudah 70 tahun meraikan cinta dan kebijaksanaan bersama,” katanya.

Syed Saddiq berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media Walimatulurus Bella Astillah & Syed Saddiq yang berlangsung di Kuala Lumpur pada petang Jumaat.

Jelasnya, perjalanan cintanya bersama Bella masih terlalu awal untuk dibandingkan dengan kisah rumah tangga Tun Dr Mahathir dan Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah yang sudah melalui pelbagai pengalaman bersama.

ARTIKEL BERKAITAN: Bella Astillah dan Syed Saddiq tangguh sidang media kahwin, terkejut berita pemergian Tun Siti Hasmah... “Kalaulah tahu itu pertemuan terakhir kita” 

ARTIKEL BERKAITAN: Bella Astillah makin berdebar menjelang hari bahagia, persiapan kahwin sudah 70 peratus siap

“Kami belum sampai pun 25 tahun, baru hendak membuka bab atau buku yang pertama.

“Kalau kita ibaratkan seperti sebuah buku, kami baru hendak menulis muka surat pertama. Mereka bukan sekadar menulis muka surat pertama, mungkin sudah mempunyai perpustakaan sendiri yang boleh berkongsikan kisah cinta mereka.

“Bukan satu buku, tetapi sudah beribu-ribu buku,” ujarnya.

Mengulas mengenai Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah, Syed Saddiq menyifatkan negarawan itu sebagai antara tokoh wanita yang wajar dicontohi.

Saddiq dan Bella akui akrab bersama pasangan tokoh itu.

“Tun Dr Siti Hasmah merupakan antara doktor wanita terawal yang memberikan inspirasi kepada wanita.

“Beliau satu-satunya doktor wanita dalam kelompoknya ketika itu di Singapura dan mendapat biasiswa.

“Bila pulang untuk berkhidmat, pada awalnya beliau berada di kota, tetapi apabila diberikan ujian dan cabaran untuk dihantar ke kawasan luar bandar, beliau tidak mengeluh.

“Beliau pergi membantu dan mendidik keluarga serta anak-anak di sana untuk menerima pendidikan moden. Beliau adalah antara yang terawal dan perintis,” katanya.

Sementara itu, Syed Saddiq turut mengakui Tun Dr Mahathir mempunyai sumbangan besar kepada negara.

Malah, Syed Saddiq berkata keakraban mereka dengan pasangan negarawan tersebut membuatkan dia dan Bella mahu mengambil inspirasi daripada perjalanan hidup mereka.

“Ini sesuatu yang sangat peribadi kerana saya tahu dan kami juga sangat dekat dengan mereka.

“Kami tahu betapa jauh lebih banyak pengalaman dan perjalanan yang mereka lalui berbanding kami. Apa yang kami boleh lakukan adalah mendapatkan sedikit sebanyak inspirasi daripada mereka.

“Walaupun dalam perkara yang paling kecil, jika kami dapat mengambil walaupun satu peratus daripada kebaikan dan jasa yang mereka sumbangkan, itu pun sudah menjadi satu nikmat yang luar biasa,” katanya.

Dalam pada itu, Syed Saddiq turut mengajak orang ramai untuk terus mendoakan kesejahteraan Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah serta kesihatan Tun Dr Mahathir.

Artikel Lain