suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Konsert ‘The First Wave’ jadi saksi kejayaan Alpha, rai kemenangan Artis Baru Terbaik AIM25 bersama peminat

Alpha menghiburkan ribuan peminat di Zepp KL.

KUMPULAN Alpha meraikan detik manis bersama peminat apabila dinobatkan sebagai Artis Baru Terbaik di Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25) ketika menjayakan konsert The First Wave di Zepp Kuala Lumpur pada malam Sabtu.

 

Kemenangan tersebut disifatkan sebagai hadiah istimewa buat tujuh anggota kumpulan berkenaan yang baru setahun mencipta nama selepas diperkenalkan menerusi program realiti Big Stage Alpha pada tahun lalu.

Mewakili kumpulan, Ariel Fesol meluahkan rasa syukur selain berterima kasih kepada pihak AIM25 kerana memberi mereka peluang untuk berada dalam industri muzik.

"Alhamdulillah kita menang guys. Saya nak ucapkan ribuan terima kasih kepada AIM25 kerana memberi Alpha peluang. 

Dari kiri: Izat, Ray-d, Ariel, Araff, Daniel Sher dan Afiq Sky sebak mengenangkan pencapaian

Dari kiri: Izat, Ray-d, Ariel, Araff, Daniel Sher, Afiq dan Rizal sebak mengenangkan sokongan diterima daripada peminat.

"Kami takkan sia-siakan peluang ini, kami tujuh jiwa bersatu. Terima kasih semua, tanpa anda semua (peminat) kami tidak akan sampai ke tahap ini. 

"Korang memang hebat," katanya. 

Kemenangan itu turut menjadi antara momen yang mencuri perhatian dalam konsert The First Wave apabila kesemua anggota Alpha tidak melepaskan peluang menzahirkan penghargaan kepada peminat yang sentiasa berdiri di belakang mereka sejak kemunculan dalam Big Stage Alpha.

Menerusi konsert itu, Alpha bukan sekadar mahu mempersembahkan karya mereka, malah menjadikan pentas berkenaan sebagai ruang untuk menghargai peminat yang sentiasa memberikan sokongan sepanjang perjalanan mereka dalam industri.

ARTIKEL BERKAITAN: “Kalau kurang satu pemandu terbatas perjalanan kami“ - Ariel Fesol anggap populariti Alpha punca spekulasi kumpulan bakal berpecah

ARTIKEL BERKAITAN: Daniel Sher jelaskan ketua Alpha bukan setakat rebut bercakap, banyak lagi peranan lain

"Buat kalian yang saya gelar sahabat, terima kasih kerana tidak pernah berhenti berharap dan masih berjuang. 

"Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh... sebab itulah kita kena buat baik sesame manusia," ujar Ariel yang juga juara Big Stage Alpha.

Ucapan penghargaan daripada setiap anggota menjadi antara momen yang mengeratkan hubungan Alpha dengan peminat, terutama ketika mereka mengimbas perjalanan sejak mula diperkenalkan kepada khalayak sehingga berjaya membawa pulang trofi AIM25.

Selain kad ucapan istimewa buat peminat, malam tersebut turut dipenuhi kejutan menerusi pra-tonton eksklusif berdurasi 30 saat video muzik Burn It Down, sebuah lagu yang dirakamkan Ketika Alpha berada di Korea Selatan. 

Turut dipersembahkan buat pertama kali ialah video muzik terbaharu, Mahkota Cinta memberi peminat peluang menjadi antara yang terawal menyaksikan karya visual tersebut. 

Alpha dinobat sebagai Artis Baru Terbaik AIM25.

Alpha dinobat sebagai Artis Baru Terbaik AIM25.

Berlangsung hampir tiga jam, Alpha mempersembahkan seleksi lagu popular termasuk Gerak, Gelato, P. Ramlee Saloma, Mahkota Cinta dan Monalisa. 

Kehadiran dua penyanyi jemputan, Daiyan Trisha dan Nadeera, turut menambah variasi pada persembahan apabila Daiyan bergandingan dengan Alpha menerusi Haru Biru, manakala Nadeera bersama mereka menyampaikan Zapin Usik Mengusik.

Dengan kekuatan tujuh anggota yang saling melengkapi, The First Wave akhirnya bukan sekadar pentas untuk Alpha memperkenalkan kemampuan mereka sebagai kumpulan, tetapi turut menjadi satu bentuk penghargaan kepada peminat yang menjadi saksi perjalanan mereka sejak awal.

Lebih bermakna, kejayaan meraih trofi Artis Baru Terbaik AIM25 pada malam sama menjadi penutup yang manis buat Alpha, sekali gus menyuntik semangat untuk mereka terus melangkah lebih jauh dalam industri muzik.

Artikel Lain