suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

“Saya bukan penjenayah“ - Yassin Sulaiman abai pandangan serong status bekas banduan

Yasin tak pernah hirau tanggapan netizen.

PENYANYI Yasin Sulaiman tidak kisah dengan tanggapan orang ramai terhadap dirinya selepas menjalani hukuman penjara susulan kesalahan berkaitan pemilikan bahan terlarang.

Yasin atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman, 51, berkata dia tidak melihat dirinya sebagai seorang penjenayah kerana kes yang dihadapinya tidak melibatkan sebarang mangsa.

“Buat apa nak malu? Saya tidak melakukan jenayah. Jadi, saya tahu bahawa saya bukan seorang penjenayah dan apa yang saya lakukan itu bukan satu jenayah.

Yasin kesal dengan perbuatannya melanggar undang-undang negara.

“Kes saya tidak mempunyai mangsa. Bagaimana saya hendak dianggap sebagai penjenayah kalau tiada mangsa?

“Kalau jenayah itu berlaku, mesti ada mangsa. Bunuh orang, curi duit dan aniaya orang, itu jenayah. Jadi, kes saya ini tidak mempunyai mangsa,” katanya ketika ditemui pada pelancaran lagu baharu Yang Tinggal bersama Zizi Kirana di Kuala Lumpur pada petang Jumaat.

Bagaimanapun, Yasin mengakui tetap menyesali perbuatannya kerana sedar telah melanggar undang-undang yang ditetapkan di negara ini.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Yasin Sulaiman dedah keadaan hospital lebih baik dari penjara, masih belajar sesuaikan diri hidup di luar

ARTIKEL BERKAITAN: Yasin Sulaiman akhirnya dibenarkan pulang selepas empat tahun di Hospital Bahagia

“Saya tidak pernah melihat diri saya sebagai penjenayah. Oleh itu, saya tidak berasa malu.

“Sudah tentu saya menyesal kerana telah melanggar undang-undang.

“Kita hidup di Malaysia, ada undang-undang. Kita juga ada Rukun Negara yang mana kita perlu menjunjung kedaulatan undang-undang,” ujarnya.

Dalam pada itu, Yasin berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama dan akan mematuhi setiap undang-undang yang ditetapkan.

Menurutnya, pengalaman yang dilalui menjadi pengajaran agar tidak lagi melakukan kesalahan walaupun pada asalnya mempunyai niat yang baik.

Yasin berjanji takkan langgar undang-undang lagi.

“Jadi, saya memang sudah melakukan kesalahan tetapi dalam saya melakukan kesalahan itu, niat saya baik.

“Daripada apa yang berlaku, saya tidak akan melanggar undang-undang lagi.

“Saya tidak akan melanggar mana-mana undang-undang di Malaysia, sama ada undang-undang itu betul atau tidak, tidak berapa baik atau sebagainya.

“Janji ia adalah undang-undang, saya tidak akan melanggarnya. Walaupun lampu isyarat merah,” katanya.

Sementara itu, Yasin mengakui tidak mengetahui jika dirinya kini dipandang serong oleh netizen selepas dibebaskan daripada hukuman.

“Sejujurnya saya tak tahu. Walaupun saya buat hantaran di media sosial, saya tak berapa nak tengok ruang komen dan sebagainya. Tak sempat!” luahnya.

Pada 2 September lalu, Yasin dibenarkan pulang ke rumah selepas menjalani rawatan dan pemantauan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.

Untuk rekod, pada 22 Ogos 2024, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 16 sebatan terhadap Yasin selepas mendapati dia bersalah atas tiga pertuduhan berkaitan dadah.

Keputusan itu dibuat selepas mahkamah membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya yang membebaskan Yasin pada 29 November 2023.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 28 April 2025 melepas dan membebaskan Yasin daripada pertuduhan berkenaan serta memerintahkan dia ditempatkan semula di Hospital Bahagia Ulu Kinta sehingga mendapat perkenan Sultan Selangor.

Keputusan tersebut sekali gus mengetepikan hukuman penjara seumur hidup dan 16 sebatan yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Yasin sebelum ini berdepan tiga pertuduhan iaitu memiliki kanabis seberat 193.7 gram, menanam 17 pokok kanabis dalam pasu plastik berisi tanah serta menggunakan dadah berbahaya terhadap dirinya sendiri.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain