suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Kos RM4 juta, penganjuran luar KL punca belanja AIM25 meningkat

AIM25 bakal berlangsung di Kuching, Sarawak pada 26 September ini.

KOS penganjuran Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25) dianggarkan mencecah RM4 juta dengan sebahagian besar perbelanjaan ditanggung oleh stesen televisyen Sarawak, TVS.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM25, Rosmin Hashim berkata, jumlah berkenaan lebih tinggi berbanding penganjuran sebelum ini berikutan acara berprestij itu buat pertama kali berlangsung di luar Kuala Lumpur.

Menurut Rosmin, selain kos produksi, pihak penganjur turut perlu menanggung perbelanjaan membabitkan pengangkutan peralatan dari Semenanjung ke Sarawak bagi memastikan kelancaran acara tersebut.

"Tidak dinafikan kos perbelanjaan ini adalah lebih besar berbanding penganjuran sebelum ini kerana ia juga dianjurkan di luar Kuala Lumpur. Ada juga peralatan yang kita bawa dari Semenanjung juga bagi memperkemaskan lagi penganjuran di sana.

Rosmin menjelaskan penambahan kos disebabkan oleh penganjuran di luar Kuala Lumpur.

"Kos keseluruhan kami menganggarkan dalam RM4 juta, sebahagian besarnya ditampung oleh TVS kerana mereka membiayai kos produksi dalam penganjuran acara di Kuching daripada sewa lokasi, pentas, lampu dan sebagainya.

"Strategi pemasaran pun kita lihat ada banyak billboard untuk mempromosikan AIM25. Jadi semua ini ditampung oleh TVS dalam kos produksi dan pemasaran," katanya kepada mStar. 

Dalam pada itu, Rosmin memberitahu Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Persembahan Sarawak (MTCP) turut menyalurkan geran RM1 juta sebagai sokongan kepada penganjuran AIM25 yang berlangsung di Kuching buat kali pertama.

Jelasnya, dana berkenaan digunakan bagi menampung kos perjalanan dan penginapan calon serta individu yang terlibat dalam acara tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: AIM25 tetap berlangsung di Kuching, penganjur harap IPU tambah baik menjelang 26 September

ARTIKEL BERKAITAN: Rosmin Hashim bidas tuduhan berat sebelah, ‘AIM25‘ telus tiada campur tangan... “Ajai hanya beri taklimat tak terlibat permarkahan“

"Itu sumbangan daripada Kementerian Pelancongan Sarawak yang membolehkan RIM menganjurkan AIM25 di Sarawak," ujarnya. 

Mengulas mengenai penganjuran edisi kali ini, Rosmin berharap sokongan yang diberikan kerajaan Sarawak dan TVS dapat memastikan penonton disajikan dengan acara anugerah yang berkualiti tinggi.

"Barisan artis yang kita persembahkan juga adalah terbaik anjuran industri muzik tempatan sendiri, jadi kami berharap dapat berikan yang terbaik buat penonton," katanya.

Bagi menghidupkan pentas malam kemuncak, AIM25 bakal dikendalikan pasangan selebriti Awal Ashaari dan Scha Alyahya bersama personaliti TVS, Shera Abang Mansur.

Ajai (kiri) dipilih sebagai ketua juri AIM25.

Selain barisan pengacara, acara berkenaan turut menampilkan sejumlah artis dan personaliti popular daripada pelbagai cabang industri hiburan sebagai penyampai anugerah.

Antaranya Amir Jahari, Aina Abdul, Wany Hasrita, Kaka Azraff, Noraniza Idris, Yonnyboii, Iman Troye dan Lah Ahmad.

Malam kemuncak AIM25 akan berlangsung di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), Sarawak pada 26 September ini, pukul 9 malam. 

Acara ini disiarkan secara langsung ke seluruh negara oleh TVS menerusi saluran 122 dan TVS Inspire.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain