suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Kecewa ’disakiti’ 16 tahun bantu Emma Suhaimi hayati lagu

Emma mengeluarkan lagu terbaharunya bertajuk Tersakiti.

PENYANYI Emma Suhaimi kembali mewarnai persada muzik tempatan menerusi buah tangan terbaharu berjudul Tersakiti.

Naskhah ciptaan komposer terkenal Indonesia, Ilham Baso itu mengangkat kisah duka, kekecewaan serta keberanian seseorang untuk melepaskan ikatan hubungan yang tidak lagi membahagiakan.

Menurut Emma, 37, lagu berkenaan membawa mesej mendalam mengenai kepentingan mencintai diri sendiri dan memberi dorongan untuk keluar daripada kepompong hubungan toksik.

Lagu tersebut memberi mesej supaya mengutamakan diri sendiri. 

“Mesej lagu ini sebenarnya sangat mudah. Kalau kita sudah tahu berada dalam hubungan yang toksik, segeralah tinggalkan sebelum kita menjadi lebih tersakiti.

“Kadang-kadang kita terlalu lama bertahan kerana berharap keadaan akan berubah, sedangkan akhirnya hanya diri sendiri yang semakin terluka,” katanya.

Mengulas mengenai cabaran rakaman, Emma berkata perkara paling sukar bukanlah dari sudut teknikal vokal, sebaliknya memastikan emosi dalam lagu berkenaan sampai ke hati pendengar.

Malah, Emma juga mengakui pengalaman pahit yang pernah dilaluinya sepanjang 16 tahun lalu membantu proses penghayatan naskhah tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Emma Suhaimi minta Datuk Red berhenti syok sendiri, Adira layak bahagia selepas bercerai… “Dia paksa hingga ke tahap paling tidak selesa”

ARTIKEL BERKAITAN: Adira hanya kongsi hubungan cinta baharu selepas kes mahkamah selesai

“Saya tidak mahu menipu. Saya sendiri pernah melalui pengalaman yang menyakitkan dan mungkin itu juga antara sebab saya memilih lagu ini. Kekecewaan yang saya lalui selama hampir 16 tahun membuatkan saya lebih memahami setiap bait lirik yang dinyanyikan.

“Antara lirik yang paling dekat di hati saya ialah 'Kamu buat aku nyaman tapi tak bisa aku genggam'. Ia mengingatkan bahawa tidak semua yang membuat kita bahagia akhirnya akan menjadi milik kita.

"Ada masanya kita perlu belajar melepaskan sebelum rasa sakit itu menjadi lebih dalam,” ujarnya.

Emma harap lagu Tersakiti diterima ramai. 

Bercerita mengenai kerjasama bersama Ilham Baso, Emma menyifatkan komposer itu amat fleksibel dan memberi kebebasan penuh buat dirinya untuk menyampaikan emosi mengikut cara tersendiri.

Emma berharap Tersakiti mampu menjadi peneman buat mana-mana individu yang sedang melalui episod sukar serta memendam duka seorang diri.

“Saya percaya lagu ini membawa kisah hidup ramai orang. Kalau Tersakiti mampu memberi kekuatan walaupun kepada seorang pendengar, itu sudah cukup bermakna buat saya,” katanya.

Lagu Tersakiti boleh mula distrim di semua platform penstriman muzik utama bermula 14 Ogos lalu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain