suria

Dah cuba segala cara tapi gagal, Nourul Wahab reda anak menjauh... Ada orang ketiga yang menghasut

Nourul sebak teringat kembali kelakuan anaknya.

KEMELUT hubungan penyanyi Nourul Wahab bersama anak sulungnya, Ayu Nazirah nampaknya masih belum menemui jalan penyelesaian walaupun sudah beberapa tahun berlalu.

Nourul atau nama sebenarnya Noorulhuda Abdul Wahad, 49, berkata konflik tersebut bukan berpunca daripada dirinya, tetapi dipengaruhi oleh pihak ketiga.

Menurutnya, individu berkenaan dipercayai memberi idea serta menghasut anaknya demi kepentingan sendiri.

Nourul terkilan kemelut bersama anak masih lagi berpanjangan.

“Tahun 2022 bukanlah tahun yang mudah untuk saya. Tahun 2023 pula menjadi yang paling sukar sehingga perniagaan saya turut terjejas.

“Paling menyakitkan apabila wujudnya orang ketiga yang memberi idea kepada anak saya,” katanya menerusi podcast Bukak Mulut.

Dalam pada itu, Nourul menjelaskan dia lebih selesa memberi kebebasan kepada anaknya menentukan hala tuju hidup, namun kecewa apabila terdapat pihak yang cuba mempengaruhi Ayu.

“Semestinya saya tidak mampu mengawal anak sepenuhnya kerana dia juga mempunyai kehidupan sendiri dan berhak meneroka haluan hidupnya.

ARTIKEL BERKAITAN:  Nourul Wahab rasa bersalah terlalu fokus konflik anak sulung sampai lupa nikmat lain perlukan perhatian

ARTIKEL BERKAITAN: Anggap anak macam kawan kesilapan Nourul Wahab, ibu bapa kena letak batas

“Tapi bila ada orang ketiga yang menghasut atau memberi idea atas kepentingan diri sendiri, itu yang buat saya marah,” ujarnya.

Tambah Nourul, dia kini lebih reda dan menyerahkan segala-galanya kepada ketentuan Allah.

Dia juga percaya ramai ibu bapa berdepan situasi sama malah perasaan melihat anak terluka adalah sesuatu yang sukar ditanggung.

“Saya serahkan segalanya kepada Allah. Apa yang berlaku, biarlah Allah yang menunjukkan jalan, menyedarkan dan menguruskan semuanya.

Itu dah bukan hubungan antara mak dan anak.

NOURUL WAHAB

PENYANYI

“Kita sebagai ibu bapa sudah memberikan yang terbaik daripada segi pelajaran, didikan dan segala yang termampu. Selebihnya terletak pada diri dia sendiri,” katanya.

Tambahnya lagi, dia turut meluahkan kekesalan apabila pelbagai usaha untuk memperbaiki hubungan dengan anaknya belum berhasil.

Malah, dia mengakui pendekatan melayan anak seperti rakan sebelum ini merupakan satu kesilapan.

Jelasnya, walaupun hubungan ibu bapa dan anak boleh bersifat terbuka dan mesra, batas tetap perlu dijaga.

Nourul sebelum ini bahagia bersama anak-anak dan suaminya.

“Bagi saya, kalau dia nak belajar sesuatu itu tidak ada masalah, tapi jangan putuskan hubungan. 

"Saya dah cuba macam-macam, tetapi sehingga kini, ketika saya perlu menjalani pembedahan, respons yang dia beri hanyalah ‘get well soon’.

“Itu dah bukan hubungan antara mak dan anak,” ujarnya.

Untuk rekod, Ayu merupakan anak dari hasil perkahwinan Nourul bersama komposer Ajai. 

Bagaimanapun pasangan itu berpisah pada 2007.

Nourul kemudiannya mendirikan rumah tangga bersama Eric pada 2012 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Zachary Depp, Raphael Depp dan Isabella Depp.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain