suria

All Star Influencers Award diperluas ke luar negara, bantu pempengaruh jadi usahawan

ASIA menggalakkan pempengaruh membina jenama dan produk sendiri menerusi program IPP.

ALL Star Influencers Award (ASIA) terus mengorak langkah ke pentas lebih besar apabila platform itu bakal diperluaskan ke peringkat antarabangsa dengan penglibatan lebih 20 negara Asia menerusi pelbagai program digital, sukan dan promosi global.

Pengerusinya, Datuk Abd. Rahman Soltan berkata, perancangan memperluaskan program ASIA ke peringkat antarabangsa sudah dimulakan sejak 2023 sebagai usaha memperkukuhkan jaringan pempengaruh di rantau ini.

Katanya, program promosi digital yang dilaksanakan sebelum ini berjaya merekodkan lebih 1.3 bilion tontonan di TikTok selain kira-kira 600 juta tontonan di Instagram tahun lalu.

“Untuk tahun ini, kami memberi fokus membantu mempromosikan industri Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) melalui pelbagai program dan acara antarabangsa,” katanya.

Antara program yang dirancang termasuk penganjuran kejohanan tinju antarabangsa di Dubai yang melibatkan 10 negara selain acara bola sepak persahabatan Malaysia-Indonesia, kejohanan snuker dan beberapa program sukan lain.

Abd Rahman mengumumkan perancangan memperluaskan ASIA ke peringkat antarabangsa dengan penglibatan 20 negara ASIA.

Abd Rahman mengumumkan perancangan memperluaskan ASIA ke peringkat antarabangsa dengan penglibatan 20 negara Asia.

Beliau berkata, semua persiapan bagi kejohanan tinju tersebut telah siap sepenuhnya termasuk latihan para peserta, dengan jadual pertandingan dijangka berlangsung pada 5 April ini di Dubai.

“Persiapan sudah dilakukan dan mendapat sambutan yang baik. Kini hanya menunggu masa untuk pertandingan berlangsung,” katanya.

Dalam perkembangan sama, pempengaruh media sosial digalakkan membina jenama dan produk sendiri menerusi pelaksanaan Influencer Partnership Program (IPP) yang diperkenalkan oleh ASIA.

Abd. Rahman berkata, program itu memberi peluang kepada golongan pempengaruh menghasilkan serta memasarkan produk sendiri sekali gus membantu mereka menjadi usahawan muda yang lebih berdaya saing.

ARTIKEL BERKAITAN: 80 ‘influencer’ dari 20 negara bakal bersaing dalam ASIA 2025

ARTIKEL BERKAITAN: Pempengaruh Indonesia Saal Haerid juara ‘All Star Influencers Award 2024’, tewaskan peserta dari 9 negara termasuk Malaysia

Menurutnya, sebelum ini kebanyakan pempengaruh hanya mempromosikan atau membuat ulasan produk milik pihak lain, namun inisiatif baharu itu membolehkan mereka memiliki produk sendiri serta menjana kestabilan kewangan bersama.

“Melalui program ini, kami memilih pempengaruh yang berpotensi untuk menghasilkan dan menjual produk mereka sendiri. ASIA bertindak sebagai badan induk yang membantu dari segi pembangunan produk sehingga pemasaran.

“Apabila mereka mempunyai jenama sendiri, mereka dapat membina sumber kewangan yang lebih kukuh dan mampan. Keuntungan pula dikongsi bersama. Ini adalah usaha kami untuk membantu anak muda berani berniaga dan membina jenama sendiri,” katanya.

ASIA kini ke peringkat antarabangsa dengan pelbagai acara termasuk kejohanan sukan dan promosi digital. 

Abd. Rahman berkata, kejayaan pempengaruh dan selebriti popular, Sally Whoo menerusi jenamanya membuktikan potensi besar program tersebut apabila bermula dengan hanya dua produk sebelum berjaya menjana jualan mencecah jutaan ringgit.

“Rahsia kejayaannya ialah rajin mempromosikan produk sendiri termasuk aktif melakukan sesi siaran langsung bagi meningkatkan jualan.

“Program julung kali seumpamanya dilaksanakan ini adalah bagi membantu pempengaruh mengurus kewangan demi kestabilan hidup pada masa akan datang,” katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain