suria

Yusof Haslam rancang satukan Que Haidar, Fazura dalam filem arahan Syafiq

Yusof dedah perancangan filem untuk Fazura dan Que.

PENGARAH dan penerbit, Datuk Yusof Haslam mempunyai perancangan untuk menyatukan dua pelakon berkaliber, Que Haidar dan Nur Fazura dalam sebuah filem terbitan Skop Productions.

Yusof atau Mohd Yusof Md. Haslam Khan, 72, berkata, idea untuk melamar dua pelakon yang sedang hangat diperkatakan itu tercetus bersempena projek filem yang dijangka memulakan penggambaran pada hujung tahun ini.

"Saya akan ambil dia (Que) untuk berlakon dalam filem yang akan datang dan nak gandingkan dengan yang rapat dengan dia ketika ini iaitu Fazura.

Yusof sudah ada perancangan gandingkan Fazura dan Que.

"Genre Filem dan tajuk saya tak boleh cerita lagi, tetapi filem itu dibawah arahan Syafiq. Insya-Allah filem ini akan mulakan penggambaran pada hujung tahun ini. 

"Skrip dan persiapan sudah dibuat cuma apa yang boleh saya katakan ketika ini semuanya masih lagi rahsia," katanya kepada mStar. 

Yusof memaklumkan perkara itu ketika ditemui semasa Malam Gala Filem Malaikat Malam di GCS Mid Valley, Kuala Lumpur pada Rabu. 

ARTIKEL BERKAITAN: "Bercinta selepas kahwin"... Que Haidar lerai spekulasi hubungan bersama Nur Fazura

ARTIKEL BERKAITAN: Que Haidar hadiahkan sejambak bunga mawar merah jambu, Fazura tersipu-sipu malu

Meskipun masih di peringkat awal, Yusof optimis gandingan ini akan menjadi kenyataan memandangkan kedua-dua pelakon tersebut memberikan respons yang positif.

"Saya baru jumpa tadi (di majlis tayangan perdana) dan kata nak beri tawaran berlakon kepada mereka. Reaksi mereka juga positif. Mereka terbuka untuk berbincang nanti.

"Walaupun belum bersetuju tapi insya-Allah mereka akan terbuka dan suka dengan tawaran ini. Lagipun mereka dah lama tak berlakon," ujarnya.

Kemesraan Que dan Faz jadi perhatian.

Dalam perkembangan lain, Yusof menjelaskan penglibatan Que dalam filem terbaharu berjudul Malaikat Malam yang hanya muncul dalam beberapa babak bukanlah disebabkan faktor bayaran aktor itu yang didakwa tinggi.

"Bukan sebab itu (mahal) tetapi memang jalan ceritanya begitu. Watak Que merupakan sub plot iaitu abang kepada Azam watak yang dibawa Syafiq Kyle," ujarnya. 

Sekadar info, filem Malaikat Malam bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula Khamis. 

Selain Que, filem yang mendapat sentuhan pengarah Nazifdin Nasrudin ini turut dibintangi pelakon hebat lain seperti Syafiq Kyle, Tracie Sinidol, Kodi Rasheed, Riezman Khuzaimi dan ramai lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain