suria

Tiada istilah balik kampung, Jamal Abdillah sambut raya atas pentas

Jamal sibuk dengan jadual persembahan sepanjang Syawal.

PENYANYI Datuk Jamal Abdillah mengakui setiap kali tiba Syawal, jadualnya tidak pernah kosong kerana dipenuhi dengan undangan persembahan di pelbagai lokasi.

Menurut Jamal atau Jamal Ubaidillah Mohd Ali, 67, isteri serta ahli keluarga memahami komitmennya sebagai anak seni dan sentiasa memberi sokongan untuk dia terus memenuhi undangan bagi menghiburkan peminat.

"Sebagai artis saya memang akan berhari raya di atas pentas. Sudah biasa begitu sebab banyak undangan rumah terbuka. Ia menjadi kerja saya setiap tahun.

Isteri memahami jadual kerja Jamal. 

"Kadang-kala dalam sehari ada dua atau tiga undangan persembahan. Memang kurang ada masa bersama keluarga.

"Isteri dan anak-anak cukup faham. Pihak pengurusan saya juga akan susun jadual supaya ada sedikit masa di rumah bersama keluarga," katanya kepada mStar.

Disebabkan itu juga, Jamal tidak membawa keluarganya menyambut hari raya di kampung asalnya di Ipoh, Perak. 

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya pun dah tua...” - Jamal Abdillah kongsi digoda peminat, sentiasa ingat isteri dan anak-anak  

ARTIKEL BERKAITAN: Syabas buat Jamal Abdillah… timang anak ketujuh pada usia 66 tahun

Namun dia akan mengambil peluang berjumpa saudara-mara jika ada kesempatan membuat persembahan di kawasan sekitar negeri itu. 

"Tiada istilah balik kampung buat saya. Cuma jika ada acara berdekatan, saya akan balik sekejap berjumpa saudara-mara.

"Isteri biasanya akan duduk di rumah sahaja bersama anak-anak," ujarnya.

Kadang-kala satu hari ada dua atau tiga acara

DATUK JAMAL ABDILLAH 

PENYANYI 

Biarpun begitu, Jamal sentiasa memastikan sambutan Aidilfitri tetap meriah buat keluarga.

Malah dia juga akan membawa isteri dan anak-anak ke mana-mana acara yang bersesuaian.

"Untuk persiapan baju raya biasanya ada yang akan menaja, jadi tidak ada masalah dengan itu. Cuma daripada segi persiapan lain, isteri yang banyak uruskan.

Isteri Jamal turut membantu dalam melakukan persiapan raya. 

"Saya akan bawa isteri dan anak-anak bersama ketika bekerja jika tempat itu sesuai," jelasnya.

Untuk rekod, Jamal mendirikan rumah tangga dengan Datin Zai Izzati Khiruddin pada April 2017 dan mereka memiliki lima orang cahaya mata bersama iaitu Nur Azura Yamani, 7, El Isaac Yamani, 6, Iskandar Rayyan Yamani, 4, Rahil Laura Salsabila Yamani, 3, serta Magdalena Yamani, 1 tahun.

Jamal juga memiliki dua orang anak hasil perkahwinan terdahulu iaitu penyanyi Osama Yamani, 25, dan Zaki Yamani, 20.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain