suria

Wawa Zainal tiada impian besar, hanya mahu tambah nilai zakat…“Bukan nak riak, tapi semua sudah dapat"

Wawa Zainal meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke-34 bersama anak-anak yatim dan asnaf pada Khamis.

PELAKON dan usahawan Wawa Zainal menyifatkan ulang tahun kelahirannya yang ke-34 pada Khamis sebagai fasa kehidupan tanpa impian besar, sebaliknya mahu memberi lebih banyak bantuan kepada golongan memerlukan.

Menurut Wawa atau Nur Hawa Zainal Abidin, dia kini lebih selesa mensyukuri apa yang dimiliki selain berharap dapat meningkatkan sumbangan khususnya melalui zakat perniagaan. 

“Alhamdulillah hari ini (semalam) genap usia saya yang ke-34 tahun di dunia ini. Terima kasih Allah kerana mengurniakan suami yang sempurna.

“Seperti biasa setiap kali sambutan hari jadi, saya akan meraikan bersama anak-anak yatim dan asnaf. Walaupun ada pertubuhan yang membatalkan jemputan ini pada saat akhir, tapi Alhamdulillah semuanya berjalan lancar.

Sambutan hari jadi Wawa Zainal tahun ini diraikan dengan berkongsi rezeki bersama golongan memerlukan.

“Saya selalu berdoa semoga apa yang Allah pinjamkan dan ada sekarang ini kekal selama saya hidup di dunia ini. Sejujurnya saya sudah tiada apa yang nak diimpikan sangat, Alhamdulillah semua saya dapat.

"Cuma setiap hari saya berdoa supaya Allah panjangkan rezeki ini. Saya bukan nak riak tapi saya bersyukur dengan apa yang saya miliki sekarang.

“Saya memang dah tiada nak capai apa-apa lagi. Cuma saya nak lebihkan lagi bayaran zakat perniagaan. Saya berharap ada peningkatan setiap tahun,” katanya kepada mStar. 

Dalam pada itu, Wawa menyifatkan hadiah paling bermakna buat dirinya adalah menjadi insan yang menjadi lebih baik. 

“Saya nak jadi isteri yang baik dan sempurna untuk Aeril. Saya pun masih belajar lagi untuk menjadi isteri yang sempurna serta hamba Allah yang taat,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Aeril Zafrel, Wawa Zainal tersentuh kisah hidup Fathia Latiff… Jadi ‘turning point’ bantu lebih ramai artis

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Wawa Zainal, Aeril Zafrel bina rumah agam 12 bilik bernilai puluhan juta… “Berazam nak hadiahkan rumah untuk setiap adik-beradik”

Dalam pada itu, suaminya yang juga pelakon Aeril Zafrel turut berkongsi mereka kini tidak lagi terlalu mengejar kemewahan dunia.

“Kami berdua memang sudah tiada impian sangat. Sebelum ini saya nak beli kereta idaman atau apa saja semua saya dah rasa. Jadi saya sudah tiada apa nak dikejarkan.

“Itulah yang kami rasa sekarang ini. Harta dunia ini kalau kita kejar, memang takkan habis. Jadi mahu atau tidak kita sendiri yang kena letakkan had itu,” katanya.

Wawa Zainal bersyukur dikurniakan keluarga bahagia bersama suami, Aeril Zafrel dan anak-anak.

Walaupun sudah tidak mempunyai sebarang impian harta benda, namun Aeril mengakui masih menyimpan keinginan untuk menambah cahaya mata kerana merindui momen ketika anak-anak masih kecil.

“Saya suka anak kecil. Anak-anak saya dah makin besar sekarang dan saya rindu momen-momen itu. Waktu tidak boleh berubah, caranya kena ada anak baharu.

“Sebenarnya setiap kali dikurniakan rezeki anak, saya turut diiringi dengan rezeki lain,” katanya yang menyimpan keinginan yang memiliki enam orang anak. 

Wawa dan Aeril yang mendirikan rumah tangga pada tahun 2013. Pasangan itu mempunyai empat orang cahaya mata iaitu, Ahmad Fakhruddin Attar,12, Hayla Maghfiratul Adzkiyaa,  Ayya Sofia, 6 dan Muhammad Fahri, 5 tahun

Artikel Lain