suria

[V] Wawa Zainal, Aeril Zafrel bina rumah agam 12 bilik bernilai puluhan juta… “Berazam nak hadiahkan rumah untuk setiap adik-beradik”

PELAKON dan usahawan, Wawa Zainal mendedahkan kos pembinaan rumah agam yang dibina bersama suaminya, Aeril Zafrel mencecah lapan angka.

Menurut Wawa atau nama sebenarnya Nur Hawa Zainal Abidin, 34, jumlah itu dianggap besar memandangkan harga bahan binaan ketika ini semakin meningkat.

“Kos rumah itu memang tinggi. Saya boleh cakap nilainya dalam lapan angka. Tapi faham sajalah, sekarang harga semua mahal,” katanya kepada mStar.

Wawa dan Aeril bina rumah agam cecah puluhan juta ringgit.

Projek kediaman berkonsepkan France Luxury yang sedang dibangunkan sejak tahun lalu itu  mempunyai 12 bilik dan dijangka siap Disember tahun depan. 

Ujar Wawa, kebanyakan idea reka bentuk datang daripada Aeril manakala dia lebih menumpukan perhatian pada urusan bisnes.

“Rumah itu kami bincang dengan pereka dalaman. Kebanyakan idea memang daripada Aeril sebab saya tak mahu fikir banyak dan mahu fokus pada urusan bisnes. 

ARTIKEL BERKAITAN: Rezeki Hayla! Bisnes cecah RM100,000… Wawa dan Aeril hadiahkan kedai

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Hadiah sempena ‘birthday’ dua anak, Wawa dan Aeril Zafrel beri setiap seorang sebuah kondominium

“Tapi bila dah buat, ada juga rasa menyesal untuk apa rumah besar ini. Tengoklah nanti bila dah siap, masih menyesal atau tidak,” selorohnya.

Wawa turut mengakui tempoh pembinaan yang panjang memberi sedikit tekanan, namun dia memilih untuk tidak terlalu memikirkannya.

“Rumah itu sedang dalam pembinaan dan saya tahu ia akan ambil masa lama. Jadi saya cuba lupakan seketika supaya tak tertekan,” jelasnya.

Rumah agam Wawa dan Aeril dijangka siap Disember tahun depan.

Selain kediaman impian, Wawa berkata dia mahu menumpukan usaha melangsaikan hutang bank serta membantu lebih ramai golongan memerlukan.

Malah, Wawa berazam menghadiahkan sebuah rumah kepada setiap adik-beradiknya.

“Selepas ini saya nak tenang-tenang saja. Saya nak selesaikan hutang bank dan bantu lagi ramai orang untuk beri manfaat. 

“Impian saya seterusnya, kalau ada rezeki, nak belikan rumah untuk setiap adik-beradik saya,” katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain