PELAKON dan penyanyi, Taiyuddin Bakar tidak kisah dengan statusnya sebagai selebriti apabila memilih untuk berniaga makanan berlauk secara car boot di tepi jalan sekitar Seri Kembangan, Selangor.
Taiyuddin atau lebih mesra disapa Tai berkata, dia hanya mahu menikmati hidup dengan melakukan perkara yang menggembirakan hatinya.
“Ada orang cakap saya ketepikan populariti, tapi sejujurnya saya seronok melakukan apa saja pekerjaan.

Nasi berlauk dijual Taiyuddin hasil masakan isteri tercinta.
"Saya selesa dan tak ambil pusing sangat tentang latar belakang saya,” katanya ketika dihubungi mStar pada Jumaat.
Bercerita lanjut, Taiyuddin berkata dia kini aktif berniaga makanan hasil air tangan isterinya, Norzila Zulkifli sejak tiga minggu lalu.
Katanya, idea itu tercetus secara spontan selepas mereka mencari aktiviti untuk mengisi masa pada waktu malam.
“Saya mula meniaga begini sejak tiga minggu lalu. Idea datang sebab tak tahu nak buat apa pada waktu malam.
ARTIKEL BERKAITAN: Taiyuddin Bakar kini vokalis Uncure selepas lama menyepi, tampil dengan konsert untuk Palestin
ARTIKEL BERKAITAN: 9 tahun bersabar, akhirnya Taiyuddin Bakar jadi bapa... Tak pernah ikhtiar zuriat cuma tawakal kepada Allah
"Kemudian saya dan isteri terfikir, apa jenis makanan yang sesuai untuk dijual," ujarnya.
Menyedari kedudukan mereka dalam kelompok B40, Taiyuddin Bakar memastikan harga makanan yang dijual kekal mampu milik iaitu RM5 sebungkus.
Menurut Taiyuddin, pengalaman berniaga bukan sahaja menjadi sumber rezeki, malah membuka peluang untuknya bertemu dengan insan berhati mulia.
“Sebab kita pun B40, jadi harga pun letak marhaen saja. Adalah untung tapi tak banyak. Saya pun harap ada ‘untung’ daripada sudut lain.

Taiyuddin menjual nasi berlauk pada harga RM5.
“Contohnya, ketika berniaga saya kenal ramai orang baik. Ada yang sanggup buat infaq dan sebagainya. Itu pun rezeki juga,” jelasnya.
Pasangan ini pada awalnya memulakan perniagaan kecil-kecilan dengan modal sekitar RM300 serta menyediakan 70 pek makanan sehari.
Bagaimanapun, sambutan luar jangkaan membuatkan mereka kini meningkatkan jumlah jualan sehingga 200 pek sehari.
Untuk rekod, Taiyuddin mendirikan rumah tangga dengan Norzila Zulkifli pada Mei 2014 dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama Ahmad Ansari yang kini berusia 2 tahun.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


