suria

Sir Race angkat identiti Sabah, lancar lagu ‘Bah Selamat Hari Raya’

Sir Race tampil dengan lagu raya berjudul Bah Selamat Hari Raya sempena Aidilfitri tahun ini.

PEMPENGARUH media sosial, Sir Race tampil menceriakan sambutan Aidilfitri tahun ini dengan cara tersendiri apabila melancarkan sebuah lagu raya berjudul Bah Selamat Hari Raya. 

Pelancaran lagu berkenaan menjadi kejutan buat pengikutnya kerana Sir Race sebelum ini lebih dikenali sebagai guru matematik popular di media sosial, namun kali ini tampil dengan projek kreatif yang berbeza sempena musim perayaan.

Lagu berkenaan diterbitkan dengan gabungan kemeriahan lagu raya tradisional bersama elemen pop moden yang dipengaruhi gaya K-Pop, sekali gus memberikan nafas segar kepada karya bertemakan hari raya. 

Menariknya, karya itu turut mengekalkan identiti Sabah yang unik melalui penggunaan perkataan ikonik seperti 'Bah', yang cukup sinonim dalam pertuturan masyarakat negeri tersebut.

Muzik video Bah Selamat Hari Raya menampilkan suasana Aidilfitri yang meriah dan penuh warna-warni.

Menurut Sir Race, idea menghasilkan lagu itu tercetus apabila menyedari tidak ramai artis dari Sabah yang tampil dengan lagu raya yang benar-benar membawa identiti negeri itu ke peringkat nasional.

“Saya perasan tidak ramai artis dari Sabah yang menghasilkan lagu raya yang menonjolkan identiti negeri kami. Jadi saya ambil inisiatif untuk menghasilkan sebuah lagu yang ceria, moden dan pada masa sama mengekalkan elemen Sabahan seperti penggunaan perkataan ‘Bah’ yang cukup dekat dengan masyarakat di sana,” katanya.

Lagu Bah Selamat Hari Raya menampilkan konsep muzik yang ceria dan mudah diingati. Malah gabungan elemen muzik raya dengan sentuhan pop moden dan vibe K-Pop turut memberi kelainan tersendiri kepada lagu ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Izzue Islam tak kisah dikritik, harap lagu raya diraikan bukan dibanding

ARTIKEL BERKAITAN: Adakah Jodoh Lebaran lagu terbaik raya 2026? Aisha Retno terima pujian Siti Nurhaliza… “TokTi approved, rakyat Malaysia pun setuju”

Keunikan lagu tersebut turut diperkukuhkan dengan koreografi tarian ringkas yang berpotensi menjadi trend atau cabaran di media sosial seperti TikTok, sekali gus memberi peluang kepada peminat untuk turut sama memeriahkan lagu berkenaan secara kreatif di platform digital.

Muzik video lagu ini juga menampilkan suasana Aidilfitri yang meriah, penuh warna-warni serta sarat dengan elemen kekeluargaan. Lebih menarik, ia turut menampilkan kemunculan istimewa penyanyi dan pelakon muda, Alyssa Dezek sebagai cameo dalam muzik video berkenaan.

Dalam pada itu, Sir Race turut mendedikasikan lagu ini secara khas kepada pelajarnya dari tingkatan satu hingga lima, selain komuniti pelajar serta ibu bapa yang sentiasa menyokong program pendidikan di bawah PTTI Group.

Alyssa Dezek turut membuat kemunculan istimewa dalam muzik video Bah Selamat Hari Raya.

“Lagu ini saya dedikasikan khas buat semua pelajar saya dari tingkatan satu hingga lima, serta komuniti pelajar dan ibu bapa yang sentiasa menyokong PTTI selama ini. Saya harap lagu ini dapat menggembirakan mereka selepas melalui perjalanan akademik yang mencabar sepanjang tahun,” katanya lagi.

Tambah Sir Race, harapannya agar Bah Selamat Hari Raya dapat menjadi antara lagu yang menceriakan sambutan Aidilfitri tahun ini serta mengeratkan lagi semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat.

Lagu tersebut dilancarkan secara rasmi pada 13 Mac 2026 dan kini boleh didengari di semua platform penstriman digital. 

 

Artikel Lain