suria

Gagal bayar pembiayaan RM15.5 juta, Mahkamah arah hartanah Datuk Seri Vida dijual

Vida masih berdiam diri dari mengeluarkan sebarang kenyataan.

USAHAWAN sensasi Datuk Seri Vida diarahkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat agar menjual beberapa hartanah milik syarikatnya bagi membayar semula RM15.5 juta pembiayaan Islam yang tidak dibayar. 

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Norsharidah Awang selepas membenarkan permohonan Maybank Islamic untuk meneruskan penjualan beberapa hartanah kerana bank berkenaan memenuhi syarat di bawah Seksyen 256 Kanun Tanah Negara.

Menerusi alasan penghakimannya bertarikh 4 Mac, Hakim Norsharidah berkata, pihak bank membuktikan kemudahan pembiayaan diberikan kepada syarikat Vida iaitu Vida Beauty Sdn Bhd dan dijamin melalui cagaran ke atas beberapa lot tanah di Hulu Kinta, Perak.

Vida diarah menjual beberapa hartanah milik syarikatnya.

"Tidak dipertikaikan kemudahan pembiayaan diberikan kepada defendan dan hartanah yang dinyatakan dalam saman pemula dicagarkan secara sah sebagai jaminan bagi pembiayaan itu," katanya memetik laporan Harian Metro.

Dokumen mahkamah menunjukkan Maybank Islamic memberikan kemudahan Pembiayaan Berjangka Komoditi Murabahah-i berjumlah RM4.886 juta kepada Vida Beauty, yang dijamin dengan tujuh lot tanah.

Berikutan kegagalan syarikat itu untuk membayar balik kemudahan berkenaan, jumlah tertunggak meningkat kepada RM8.45 juta setakat 30 September 2022, termasuk keuntungan terkumpul dan caj bayaran lewat.

ARTIKEL BERKAITAN: Acara lelong barang-barang milik Vida ditunda

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Vida sedar banyak musuh, ada pihak nak jatuhkan... tak terkesan tuntutan RM59 juta

Dalam satu kemudahan pembiayaan berasingan namun berkaitan, yang dijamin satu lagi hartanah di Hulu Kinta, jumlah tertunggak melebihi RM7 juta, menyebabkan pihak bank memfailkan satu lagi saman pemula bagi mendapatkan perintah jualan.

Bagaimanapun, Vida Beauty yang diwakili peguam Haris Md Nor membantah permohonan itu dengan hujahan terdapat kecacatan pada prosiding berkenaan kerana pihak bank memfailkan afidavit sokongan di luar tempoh masa yang ditetapkan di bawah Kaedah-Kaedah Mahkamah.

Namun Hakim Norsharidah menolak hujah itu, dengan menyatakan kelewatan itu tidak membatalkan prosiding.

Vida belum tampil dengan sebarang kenyataan.

"Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 tidak memperuntukkan bahawa kegagalan memfailkan afidavit sokongan dalam tempoh tertentu secara automatik akan menyebabkan keseluruhan prosiding menjadi terbatal dan tidak sah," katanya.

Menurut Hakim Norsharidah, penafian semata-mata dibuat defendan bahawa notis tidak diterima, tanpa bukti kukuh untuk menangkis anggapan itu adalah tidak mencukupi untuk mencabar kesahihan penyampaian notis.

Syarikat itu juga mempertikaikan jumlah tuntutan oleh pihak bank dengan mendakwa hutang sebenar adalah jauh lebih rendah daripada RM8.5 juta yang dinyatakan.

Walau bagaimanapun, Hakim Norsharidah memutuskan, pertikaian mengenai jumlah sebenar hutang bukan sebagai pembelaan yang sah untuk menghalang penguatkuasaan cagaran.

Syarikat Vida mempertikaikan jumlah tuntutan oleh pihak bank.

"Kemudahan pembiayaan itu distrukturkan berdasarkan transaksi jualan, yang mana harga jualan sudah dipersetujui dengan jelas dalam surat tawaran dan perjanjian kemudahan.

"Mahkamah sivil tidak boleh menulis semula kontrak atau menggantikan struktur harga jualan yang sudah dipersetujui atas alasan keadilan atau dengan membandingkannya dengan pinjaman konvensional," katanya.

Mahkamah turut menganugerahkan kos sebanyak RM10,000 kepada pihak bank.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain