suria

Gabriel Chunghe jaga privasi, ‘block’ mesej pelik… Seronok nama makin dikenali

Gabriel mahu namanya terus dikenali.

KETIKA namanya mula dikenali ramai, pelakon Gabriel Chunghe tidak terlepas daripada menerima gangguan daripada sesetengah pihak yang didakwa menghantar mesej tidak sepatutnya.

Kata Gabriel, 20, dia bagaimanapun lebih senang mengambil pendekatan mengabaikan mesej sebegitu kerana tidak mahu menimbulkan situasi kurang baik.

“Saya ada terima mesej tanya bukan-bukan. Bagi saya, langkah terbaik adalah abaikan sahaja. Saya juga faham ini sebahagian daripada kehidupan dan akan ada yang bertanya perkara sebegitu.

Gabriel tahu jaga privasi. 

“Kalau terlalu pelik, saya akan ‘block’ terus. Sebagai manusia, saya pun ada batas tersendiri. Saya tidak suka apabila pertanyaan terlalu peribadi seperti di mana tempat tinggal,” katanya kepada mStar.

Pelakon yang mula dikenali menerusi watak Chico dalam drama Perempuan Tidak Ternikah ini memberitahu dia terbuka untuk berkongsi aktiviti harian di media sosial.

Baginya, itu juga merupakan satu cara untuk berinteraksi dengan peminat selain dapat memberi inspirasi kepada orang lain.

ARTIKEL BERKAITAN: Gbril makin jatuh cinta pada dunia lakonan, tabik pelakon senior 

ARTIKEL BERKAITAN: Pakai gaun tayang bahu, penampilan Thalita dikritik tak sesuai dengan usia

Bahkan, sejak awal pembabitan dalam dunia seni, Gabriel juga sudah bersedia berdepan dengan populariti.

“Sejak kecil saya sering tertanya bagaimana rasanya menjadi seorang yang dikenali dan saya mahu tahu perasaan itu.

“Apabila menjadi pelakon, saya sedia berdepan dengan sebarang kemungkinan dalam dunia populariti ini.

Saya tidak suka apabila pertanyaan terlalu peribadi

GABRIEL CHUNGHE

PELAKON 

“Jika lihat di media sosial, saya berkongsi banyak perkara termasuk aktiviti harian di gim atau ketika bercuti. Cuma untuk kisah peribadi, saya tidak kongsikan,” jelasnya.

Bercakap mengenai pembabitannya dalam dunia lakonan, Gabriel mengakui dirinya berasa cukup bertuah kerana diterima baik dalam kalangan peminat drama Melayu tempatan.

Meskipun berbangsa Cina, dia juga sedia menggalas cabaran membawa pelbagai watak termasuk karakter lelaki Melayu.

Gabriel sedia sahut cabaran pelbagai watak. 

“Saya bersekolah di sekolah kebangsaan dan rasanya saya lebih fasih berbahasa Melayu berbanding bahasa Cina.

“Dalam dunia lakonan ini juga, saya terbuka untuk membawa pelbagai watak,” jelasnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain