suria

‘Menjaga Jodoh Orang Lain’ paling banyak distrim, pendapatan industri muzik 2025 cecah RM400 juta

Lagu Menjaga Jodoh Orang Lain nyanyian Ara Johari merupakan lagu tempatan paling tinggi distrim.

PENDAPATAN industri muzik tempatan bagi tahun 2025 sekali lagi berjaya mencipta rekod baharu apabila meningkat sebanyak 17.7 peratus berbanding 2024.

Menurut Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Rosmin Hashim berkata, jumlah tersebut sesuatu yang membanggakan kerana ia merupakan paras tertinggi yang pernah dicipta.

Jelasnya, industri muzik tempatan mencatatkan pendapatan sebanyak RM428.3 juta, berbanding RM352.4 juta yang direkodkan bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Rosmin berpuas hati dengan pendapatan 2025.

“Ini merupakan peningkatan ketara sebanyak 17.7 peratus tahun ke tahun dan merupakan paras pendapatan tertinggi yang pernah dicapai oleh industri muzik Malaysia,” katanya.

Rosmin menjelaskan perkara itu menerusi satu kenyataan media kepada mStar pada Selasa.

Tambah Rosmin, pembiayaan daripada Kementerian Komunikasi menerusi program Dana Kandungan Digital (DKD) juga menjadi dorongan besar kepada pembangunan industri muzik tempatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pendapatan industri muzik 2024 pecah rekod dengan RM339 juta, AIM edisi ke-24 dianjurkan tahun ini

ARTIKEL BERKAITAN: Dolla tampil buat persembahan bersama bintang Thailand, Sherry Alhadad dan Alif Satar hos malam kemuncak AIM24

“Ramai artis yang menerima dana ini menghasilkan rakaman berkualiti tinggi. Sokongan pembiayaan ini membolehkan pemegang hak menghasilkan kandungan muzik berkualiti tinggi.

“Ia juga berpotensi menembusi pasaran antarabangsa yang lebih luas,” ujarnya.

Tidak lupa Ernie Zakri yang mencipta satu kejayaan besar di peringkat serantau.

ROSMIN HASHIM

PENGERUSI PERSATUAN INDUSTRI RAKAMAN MALAYSIA

Dalam pada itu, Rosmin berkata sepanjang tahun 2025 turut memperlihatkan beberapa artis Malaysia berjaya mencapai kejayaan cemerlang menerusi kerjasama dengan pemuzik di peringkat serantau.

Ini termasuk penyanyi Ara Johari yang muncul sebagai lagu tempatan paling tinggi distrim menerusi lagu Menjaga Jodoh Orang Lain.

Sementara itu, Insomniacks pula muncul sebagai artis tempatan paling tinggi distrim mengikut jumlah pendengar.

Lagu nyanyian Ara antara paling tinggi distrim.

“Tidak lupa Ernie Zakri yang mencipta satu kejayaan besar di peringkat serantau menerusi lagu Masing-Masing, hasil kolaborasi bersama penulis lagu dan pemain gitar Indonesia, Ade Govinda, sekali gus memenangi anugerah Lagu Paling Tinggi Distrim di AIM24.

“Manakala Dolla pula bekerjasama dengan bintang hip-hop Thailand, Tobii, menerusi lagu Bad Girls Like You yang mendapat sambutan di peringkat serantau.

“Selain Aina Abdul yang bekerjasama dengan rakan artis iaitu Fabio Asher,” katanya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain