suria

Netizen ejek padan muka tak jadi juara, Nubhan anggap tempat ketiga GV12 sebagai rezeki

Nubhan menerima kemenangan di tempat ketiga GV12.

PENYANYI Nubhan yang meraih tempat ketiga dalam Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12) menerima keputusan dengan berlapang dada meskipun terdapat segelintir netizen yang seakan-akan gembira melihat dirinya tidak bergelar juara. 

Nubhan atau Ahmad Nubhan Ahmad, 40, berkata, apa sahaja keputusan yang diberikan bukanlah sesuatu yang wajar dipandang rendah apatah lagi dijadikan bahan sindiran.

"Nombor tiga bukan 'padan muka' (sebab bukan juara). Bagi saya, ini semua rezeki dan satu perjalanan daripada minggu pertama sampai akhir bukan kerja senang. 

Nubhan (kanan) bersyukur dengan kejayaan di GV12.

"Kalau saya tersingkir lebih awal, lain ceritalah. Apabila sudah menjadi finalis (peserta) sasaran saya adalah sekurang-kurangnya saya bertanding ke peringkat akhir. 

"Nak jadi juara bukan senang. Kalau menang itu bonus. Dapat tempat ketiga pun Alhamdulillah (syukur)," katanya kepada mStar. 

Nubhan berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media minggu akhir GV12 yang diadakan di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam, Selangor pada malam Ahad. 

ARTIKEL BERKAITAN: Rezeki Iskandar Ismail juara GV12

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Nubhan tidak langgar peraturan, kekal bertanding dalam Gegar Vaganza 12

Dalam pada itu, Nubhan turut menzahirkan rasa terharu dengan sokongan peminat yang sentiasa percaya dengan kemampuannya sepanjang pertandingan berlangsung.

"Terima kasih yang meramalkan saya sebagai juara. Alhamdulillah maksudnya mereka (peminat) percaya saya ada harapan untuk menang. 

"Sokongan daripada peminat sejak minggu pertama sudah cukup untuk membuatkan saya gembira," ujarnya. 

Nak jadi juara bukan senang. Kalau menang itu bonus.

NUBHAN 

PENYANYI

Mengulas kritikan terhadap persembahan duet Seluruh Cinta bersama penyanyi jemputan, Aina Abdul, yang dikatakan kurang sesuai, Nubhan mengakui dirinya tidak begitu menyerlah dalam menyampaikan lagu tersebut.

Kongsi Nubhan, dia mahu bersikap profesional dengan menerima apa sahaja lagu yang telah ditetapkan oleh pihak produksi.

"Saya hanya memilih lagu untuk persembahan solo. Aina seorang penyanyi yang sangat profesional. Dia sangat memberi sokongan kepada rakan duet ketika membuat persembahan. 

"Cuma mungkin saya kurang 'memberi' kerana lagu tersebut memang agak sukar tapi Alhamdulillah saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Aina kerana komitmen diberi. 

Nubhan (kiri) menyanyikan lagu duet Seluruh Cinta bersama Aina.

"Saya terima saja apa-apa lagu diberikan, ia sebagai satu tanggungjawab tanpa perlu beri banyak alasan," katanya. 

Pada malam Ahad, Nubhan berpuas hati menamatkan saingan di tempat ketiga pada pentas akhir GV12.

Penyanyi Iskandar Ismail dinobatkan sebagai juara, manakala kumpulan dari Indonesia, Mendua, muncul sebagai naib juara.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Berikut

Artikel Lain