suria

Hazami dimasukkan ke hospital kerana usus bengkak, bakal jalani prosedur kolonoskopi

Hazami kini sedang menerima rawatan di HKL.

PENYANYI Hazami dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur sejak Khamis lalu kerana mengalami masalah usus bengkak. 

Menurut pengurusnya, Aszuad Zakaria, Hazami dimasukkan ke hospital berkenaan kerana penyakit lama yang menyerang ususnya dan perlu menjalani prosedur kolonoskopi.

"Hazami dimasukkan ke hospital kerana mengalami penyakit sama seperti dulu, ususnya menjadi bengkak. Dia dimasukkan ke wad sejak 15 Januari lalu. 

"Doktor nak kurangkan bengkak pada ususnya dan kalau tak silap saya dia (Hazami) akan melakukan prosedur kolonoskopi," katanya ketika dihubungi mStar pada Isnin. 

Hazami mengalami kesukaran membuang air besar.

Menurut Aszuad, Hazami mengalami kesukaran membuang air besar sehingga terpaksa mendapatkan rawatan di hospital. 

"Dia ke hospital kerana mengalami masalah sukar membuang air besar dan hanya keluar cecair. 

"Dia boleh merasakan penyakitnya yang dulu kembali lagi. Sejak berada di hospital dia memang tidak boleh membuang air besar. 

"Tapi rasanya semalam (Ahad) dia dapat buang air besar jadi doktor boleh teruskan dengan prosedur rawatan," ujarnya. 

ARTIKEL BERKAITAN: Hazami terpaksa jaga makan selepas jatuh sakit

ARTIKEL BERKAITAN: Mahu kurus bawa padah buat Hazami sehingga pendarahan usus

Tambah Aszuad, sejak dimasukkan ke hospital, penyanyi lagu Mungkir Bahagia itu hanya dibenarkan minum air bagi memastikan ususnya bersih sebelum rawatan seterusnya.

"Hanya hari ini Hazami baru boleh makan kerana sejak dimasukkan ke hospital, doktor hanya beri dia minum air saja. 

"Ini bagi memastikan ususnya bersih sebelum melakukan prosedur seterusnya. 

"Kalau ikutkan Hazami tidak mahu berkongsi tentang keadaanya tetapi selepas dipujuk dia akhirnya bersetuju untuk memaklumkan kepada rakan media," jelasnya. 

Berita palsu mengenai Hazami tersebar di media sosial.

Sementara itu, Aszuad meminta orang ramai agar tidak menyebarkan berita palsu mengenai kerjaya Hazami yang kononnya tidak lagi menerima tawaran pekerjaan.

"Saya juga ingin menafikan khabar-khabar angin yang berlegar. Sebelum ini, ada beberapa blogger menyebarkan berita palsu mengatakan Hazami kini tiada tawaran pekerjaan kerana mengalami masalah kesihatan. 

"Semua itu tidak benar kerana sebelum dimasukkan ke hospital, Hazami masih lagi memenuhi jemputan menyanyi dan sibuk menghasilkan karya lagu baharu," tegasnnya. 

Pada 2015, Hazami dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi sebuah pusat perubatan swasta kerana mengalami pendarahan dalam usus.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain

Rezeki Iskandar Ismail juara GV12