TAMPIL berkolaborasi dalam sebuah lagu baharu, penyanyi Aina Abdul memuji rakan artis, Amir Jahari, yang disifatkan sebagai seorang cukup berbakat besar.
Menginginkan satu karya yang berbeza, Aina atau Nurul Aina Abdul Ghani, 32, turut meluahkan rasa syukur kerana diberi kesempatan bertemu Amir bagi menghasilkan lagu berjudul Ayuh Pulang.
“Kali ini saya mahukan sesuatu yang tenang dan dalam masa sama memberi semangat. Allah kenalkan saya dengan Amir Jahari.

Aina teruja bekerjasama dengan Amir.
“Bakat yang bagi saya luar biasa, jiwanya mahal. Orangnya introvert, sama macam saya,” katanya.
Aina menulis perkara tersebut dalam satu hantaran di Instagram miliknya pada Sabtu selepas lagu duet mereka itu dilancarkan.
Penyanyi itu turut mengimbau kembali kenangan ketika pertama kali melihat Amir membuat persembahan jalanan suatu ketika dahulu.
ARTIKEL BERKAITAN: “Mana orang Malaysia, tak nak dengar lagu saya ke?” - Aina Abdul terkejut 70 peratus pendengar dari Indonesia
ARTIKEL BERKAITAN: Aina Abdul raih empat anugerah termasuk Lagu Terbaik AIM24, Belagu II menang Album Terbaik
Tidak pernah menyangka pandangan dari jarak jauh itu akhirnya mempertemukan mereka dalam sebuah karya lagu.
“Pernah nampak Amir busking dekat Kuching Waterfront dulu, ketika itu dia belum masuk Akademi Fantasia. Saya tengok dari tempat duduk yang tersedia. Dalam hati kata, ‘sedap suara dia’… tenang.
“Kadang-kadang kita tak tahu mana hala tuju. Setiap pertemuan pasti ada tujuan,” kongsinya.

Aina dan Amir kolaborasi cipta lagu bersama.
Bercakap lanjut, kolaborasi mereka ini bermula selepas berbual santai dan kemudian kedua-duanya menulis lagu bersama.
Dia juga mengucapkan penghargaan buat Amir yang terlebih dahulu memberi idea untuk kerjasama ini.
“Bermula dengan kopi-kopi, sesi menulis lagu akhirnya menjadi lagu sebenar Ayuh Pulang.
“Terima kasih kerana memulakan langkah menghubungi saya,” ujarnya.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!


