ANAK kepada pelakon Allahyarham Dharma Harun, Muhammad Al Syafiq Mohamad Azman, bersyukur dapat memberikan penghormatan terakhir yang cukup bermakna apabila menjadi imam solat jenazah bapanya.
Menurut Syafiq, 36, pengalaman itu merupakan hadiah paling istimewa yang mampu diberikan kepada arwah.
“Allahuakbar, saya boleh katakan ini adalah hadiah terbaik yang boleh saya berikan kepada bapa saya.

Syafiq anggap itu sebagai hadiah terakhir untuk bapanya.
“Pada mulanya saya bertanya kepada imam masjid dan pak cik saya, kebetulan mereka kata anak lebih afdal jadi imam. Jadi, saya lakukan. Saya belajar dan membaca sedikit sahaja, tak banyak pun.
“Saya juga berpeluang memandikan arwah. Saya tidak rasa segan atau takut kerana saya tahu ini adalah bapa saya,” katanya kepada mStar.
Syafiq berkongsi pengalaman itu ketika ditemui sejurus selesai majlis pengebumian arwah di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Taman Selaseh, Kuala Lumpur pada tengah hari Rabu.
Menurut Syafiq, dia mengakui walaupun tidak sempat menatap wajah bapanya pada saat nafas terakhir, sekurang-kurangnya dia dapat melakukan penghormatan terakhir kepada jasad arwah.
ARTIKEL BERKAITAN: “Rumah dalam keadaan gelap, cari ayah tengok sudah tiada”... Dharma Harun meninggal dunia sendirian, jenazah dibawa ke masjid
ARTIKEL BERKAITAN: Dharma Harun meninggal dunia
“Walaupun saya tidak sempat menatap wajahnya ketika nafas terakhir, sekurang-kurangnya saya dapat melakukan sesuatu kepada jasadnya yang masih di bumi ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Syafiq menegaskan dia akan terus memartabatkan nama bapa dalam dunia perfileman, selain mengekalkan nama Dharma sebagai legasi yang tidak akan lapuk ditelan zaman.
“Nama saya, sudah tentu akan kekal sebagai Syafiq Dharma. Rezeki untuk berlakon, Alhamdulillah, masih ada yang menjemput saya.
“Malah, pihak produksi sudi menyesuaikan jadual kerja ikut masa untuk saya yang masih belajar ini.
Allahuakbar, saya boleh katakan ini adalah hadiah terbaik yang boleh saya berikan kepada bapa saya.
SYAFIQ DHARMA
PELAKON
“Dalam dunia perfileman ini, saya tak mahu memadamkan nama Dharma. Nama itu akan tetap kekal supaya orang terus mengingati siapa Dharma itu,” jelasnya.
Jenazah Allahyarham Dharma selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah Fasa 2, Batu Caves sekitar pukul 12.30 tengah hari pada Rabu.
Sebelum itu, jenazah dimandikan dan disolatkan di Masjid Abu Ubaidah Al Jarrah, Taman Sri Rampai.
Allahyarham, 68, dilaporkan meninggal dunia secara mengejut di kediamannya di Wangsa Maju pada malam Selasa sekitar pukul 9.10 malam.
Syafiq, yang baru pulang daripada kelas, terkejut menemui bapanya dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum menghubungi ambulans.

Dharma menghembuskan nafas terkahir pada Selasa.
Hasil siasatan mendapati arwah meninggal dunia kerana uzur.
Untuk rekod, Allahyarham Dharma merupakan antara pelakon lelaki popular era 1980-an. Antara filem yang pernah melonjakkan namanya termasuk Adik Manja (1980), Prebet Lapok (1979) dan Mekanik (1983).
Selain berlakon, arwah juga pernah terlibat dalam penerbitan beberapa program televisyen.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


