suria

[V] Noor Kumalasari dedah tekanan dialami arwah sebelum ‘pergi’, lama tak bekerja punca Dharma Harun kemurungan

PELAKON veteran, Noor Kumalasari berkongsi keadaan sebenar dilalui aktor Allahyarham Dharma Harun Al Rashid yang dipercayai melalui episod kemurungan kira-kira sebulan sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Menurut Noor, 69, perkara itu dimaklumkan sendiri oleh keluarga arwah yang menyedari perubahan ketara pada Dharma, termasuk menjadi semakin pendiam serta memilih untuk menjauhkan diri.

“Baru-baru ini saya dimaklumkan oleh ahli keluarganya yang arwah mengalami kemurungan sejak sebulan lalu. Dia jadi sangat ‘down’, sampai adik-beradik sendiri pun dia tak mahu jumpa.

Noor terkejut menerima khabar pemergian Dharma.

“Dia lebih banyak menyendiri dan mengurung diri. Jadi ketika Syafiq (anak Dharma) pulang dari kolej dan bertemu dengannya, waktu itu arwah baru melalui fasa kemurungan tersebut,” katanya kepada mStar.

Noor berkongsi perkara itu ketika ditemui selepas pengebumian Allahyarham di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah Fasa 2, Batu Caves, pada Rabu.

Dalam masa sama, Noor menjelaskan, antara sebab arwah tertekan kerana sudah lama tidak bekerja dalam bidang seni yang dicintainya.

“Arwah pernah beritahu dia murung sebab lama tak bekerja. Dia memang jenis yang suka bergerak aktif. 

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Syafiq Dharma imamkan solat jenazah bapa, anggap hadiah terakhir paling bermakna 

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Jenazah Allahyarham Dharma Harun selamat dikebumikan… Rakan selebriti hadir beri penghormatan terakhir

"Saya pernah nasihatkan, kalau rindu nak bekerja, ambil sahaja apa-apa kerja produksi. Tolong-tolong pun tak apa.

“Walaupun bukan kerja tetap, sekurang-kurangnya pergi ke set penggambaran sebab dia suka suasana orang seni. Jadi dia tak duduk di rumah dan terus tenggelam dalam kemurungan. Alhamdulillah, selepas itu dia mula dapat rezeki,” ujarnya.

Dalam masa sama, Noor turut mengimbas kenangan awal pertemuan mereka pada zaman pembikinan filem Adik Manja dan nenyifatkan arwah sebagai seorang yang pemalu.

“Masa kali pertama jumpa, dia sudah menangis. Kalau diimbas kembali, dia memang jarang berkongsi kisah hidup. Itu kali pertama saya tahu.

Dia jadi sangat ‘down’, sampai adik-beradik sendiri pun dia tak mahu jumpa.

NOOR KUMALASARI

PELAKON

“Dia cakap, ‘sebenarnya saya ini segan, bukan sombong.’ Dia rasa kerdil dan selalu terfikir ‘siapalah Dharma.’ Saya jawab, tak perlu rasa segan kerana semuanya biasa sahaja.

“Masa itu saya memang terkenal dengan ketegasan, selalu tegur pelajar (pelakon Adik Manja) termasuk dia. Tapi katanya, dia ada banyak kenangan manis dengan saya,” jelasnya.

Terdahulu pada Julai lalu, Noor sempat menziarahi arwah di kediamannya di Wangsa Maju bersama penyanyi dan penyampai radio, Haiza Hanafi.

Noor ketika di majlis pengebumian Allahyarham Dharma.

Jenazah Allahyarham Dharma selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah Fasa 2, Batu Caves sekitar pukul 12.30 tengah hari pada Rabu. 

Sebelum itu, jenazah dimandikan dan disolatkan di Masjid Abu Ubaidah Al Jarrah, Taman Sri Rampai.

Untuk rekod, Allahyarham Dharma merupakan antara pelakon lelaki popular era 1980-an. Antara filem yang pernah melonjakkan namanya termasuk Adik Manja (1980), Prebet Lapok (1979) dan Mekanik (1983). 

Selain berlakon, arwah juga pernah terlibat dalam penerbitan beberapa program televisyen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain

Bung Moktar meninggal dunia