suria

[V] Jenazah Allahyarham Dharma Harun selamat dikebumikan… Rakan selebriti hadir beri penghormatan terakhir 

SUASANA sayu mengiringi pengebumian pelakon, Allahyarham Dharma Harun Al Rashid, apabila jenazahnya selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah Fasa 2, Batu Caves kira-kira pukul 12.30 tengah hari pada Rabu.

Terdahulu, jenazah arwah dimandikan dan disolatkan di Masjid Abu Ubaidah Al Jarrah, Taman Sri Rampai sebelum dibawa ke tanah perkuburan bagi urusan pengebumian. 

Anak-anak arwah iaitu Siti Qurratu Aini dan Muhammad Al Syafiq Mohamad Azman dilihat tenang meskipun sebak sepanjang urusan berlangsung, sambil dibantu ahli keluarga terdekat dan saudara-mara.

Anak Dharma (Syafiq) turut membantu semasa pengebumian arwah. 

Beberapa nama besar dalam industri turut meluangkan masa bagi memberi penghormatan terakhir seperti Datuk Yusof Haslam, Mubarak Majid, Datuk DJ Dave, Zaidi Omar dan Noor Kumalasari.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, yang sebelum ini memaklumkan kesediaan pihaknya membantu masa depan dua anak arwah.

Allahyarham, 68, dilaporkan meninggal dunia secara mengejut di kediamannya di Wangsa Maju pada malam Selasa sekitar pukul 9.10 malam.

ARTIKEL BERKAITAN: “Rumah dalam keadaan gelap, cari ayah tengok sudah tiada”... Dharma Harun meninggal dunia sendirian, jenazah dibawa ke masjid

ARTIKEL BERKAITAN: Dharma Harun meninggal dunia

Anak lelakinya, Syafiq, 36, yang baru pulang daripada kelas, terkejut menemui bapanya dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum menghubungi pihak berkuasa.

Tahun lalu, arwah pernah menarik perhatian ramai selepas berkongsi mengenai beban hidup dialami sehingga hampir diusir dari rumah sewa akibat tunggakan lebih RM7,500.

Sejak kisah itu tular, dia menerima bantuan daripada Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN), Pusat Zakat, serta Yayasan Budi.

Namun kesihatannya dilaporkan terus merosot hingga kehilangan selera makan menyebabkan berat badan turun mendadak daripada 85 kilogram kepada 45 kilogram.

Dharma menghembuskan nafas terakhir pada Selasa. 

Media sebelum ini turut melaporkan beliau menghidap gastrik, asma, bengkak jantung, masalah paru-paru serta tiroid.

Arwah meninggalkan kesan mendalam dalam industri seni tempatan dikenali menerusi filem-filem klasik seperti Adik Manja (1980), Prebet Lapok (1979) dan Mekanik (1983).  

Selain berlakon, arwah juga pernah terlibat dalam penerbitan beberapa program televisyen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain

Bung Moktar meninggal dunia