suria

Shakilla Khoriri sering rapatkan anak dengan bapa, akui sedih bila ajar membelakangi ibu kandung… “Saya beria kongsi pada dia yang tak pernah ambil tahu”

Shakilla rasa terasa martabatnya sebagai ibu kandung rendah.

PELAKON Shakilla Khoriri sekali lagi berkongsi luahan selepas tidak menerima sebarang khabar mengenai keadaan anaknya, Ameena Sofia yang berangkat menunaikan umrah bersama bapanya yang juga penyampai radio, Fizi Ali.

Shakilla atau Nurul Shakilla Mohd Khoriri, 36, berkata, sebagai ibu dia tidak tahu waktu paling sesuai untuk menghubungi anaknya yang berada di Tanah Suci bersama keluarga bekas suami. 

“Masa menghantar anak kepada ayahnya, anak pesan pada umi, nanti dah sampai sana, kita video call umi, okay?

Shakilla masih menunggu panggila daripada Ameena.

“Sebagai umi, saya pun menunggu. Saya hormat kerana ketika itu mereka sedang beribadat. Saya tak pasti bila masa sesuai untuk bertanya atau buat panggilan. Maka saya tunggu dan terus menunggu.

“Sampailah ada orang luar yang kongsi Ameena katanya kurang sihat. Dalam hati, rendahnya martabat aku sebagai mak kandung. Anak sakit pun tak tahu,” katanya.

Shakilla berkongsi perkara itu menerusi hantaran di Instastory pada petang Sabtu.

Walaupun cuba bersangka baik, Shakilla mengakui hatinya tetap terusik apabila tiada maklumat terus diberikan kepadanya, walaupun sekadar panggilan ringkas.

ARTIKEL BERKAITAN: “Mak dia kenapa tak call? Sebelum ini boleh mesej atau hubungi terus Ameena” - Fizi Ali

ARTIKEL BERKAITAN: Shakilla Khoriri dah sembilan hari tak dengar khabar Ameena - “Mungkin anak umi khusyuk menunaikan umrah sampai terlupa”

Aktres itu turut menegaskan dia tidak pernah menghalang hubungan Ameena dan Fizi, malah kerap menggalakkan anaknya untuk berhubung dengan bapa kandungnya.

“Ameena ada banyak perkara yang disimpan dan dipendam. Saya je tahu tapi saya bersangka baik. Macam mana dia punya happy setiap kali saya cakap nak hubungi bapa dia walaupun dia tak pernah minta call apa lagi video call. 

“Saya yang beria-ia sebab saya nak anak tu kongsi apa dia buat pada bapa dia yang tak pernah ambil tahu. Saya tak pernah kisah. Tak pernah berkira malah saya tak teruskan tuntutan nafkah sebab saya faham,”ujarnya.

Dalam luahan sama, Shakilla seolah-olah kesal apabila terdapat individu yang dikatakan cuba mengajar anaknya untuk menjauhkan diri dengan ibunya sendiri.

Saya yang beria-ia sebab saya nak anak tu kongsi apa dia buat pada bapa dia yang tak pernah ambil tahu.

SHAKILLA KHORIRI

PELAKON

“Sedih jua hati seorang umi ni. Bila ego mengajar anak untuk membelakangi ibu kandung. Tapi tidak mengapa.

“Tak perlu dipanjangkan. Saya maafkan. Yang lain minta maaflah pada Allah. Pandai-pandailah.

“Saya penat. Selepas ini teruslah menjadi hanya penjaga yang ambil anak dua kali seminggu seperti mana yang dia katakan perintah mahkamah. Tak apa. Selagi ada kesihatan dan rezeki, saya berjuang sendiri,” katanya. 

Pada Jumaat, Shakilla meluahkan rasa rindu apabila mendakwa sudah sembilan hari tidak menerima maklumat mengenai Ameena yang ketika itu berada di Tanah Suci.

Fizi menunaikan ibadah umrah bersama keluarganya.

Bagaimanapun, Shakilla berkata dia percaya anaknya mungkin sibuk menjalani ibadah umrah.

Susulan kenyataan itu, Fizi Ali pada pagi Sabtu tampil memberikan penjelasan di media sosial, menafikan Ameena sedang sakit serta menjelaskan tidak pernah ada halangan untuk Shakilla menghubungi anak mereka.

Untuk rekod, Shakilla dan Fizi berkahwin pada 18 Januari 2018 sebelum bercerai pada Disember 2021. 

Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Ameena Sofia yang kini berusia enam tahun.

Selepas berpisah, Shakilla mendirikan rumah tangga dengan Mohd Fariz pada 24 Februari 2024, manakala Fizi pula berkahwin dengan Siti Zulaikha pada 23 Oktober 2023.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain