suria

Terbawa-bawa watak ‘Maria Hadi’, June Lojong rasa diekori makhluk halus… “Macam ada pendamping”

June akui terbawa-bawa watak Maria Hadi di luar set penggambaran.

MENJIWAI watak berat bukan perkara baharu buat pelakon June Lojong, namun penglibatannya dalam filem seram berjudul Polong nyata memberi kesan mendalam sehingga terbawa-bawa ke luar set penggambaran.

June, 47, yang memegang watak Maria Hadi mengakui aura seram watak tersebut ‘mengikuti’ dirinya hingga ke rumah meskipun tidak pernah berdepan gangguan mistik secara fizikal.

“Rasa seram itu ada tapi tidaklah terima apa-apa gangguan.

June sifatkan watak Maria Hadi sangat berat untuk didalami.

“Bila saya berlakon watak berat memang akan terbawa-bawa sampai ke rumah dan tidur,” katanya kepada mStar.

Menurut June, proses mendalami watak Maria Hadi iaitu seorang wanita yang percaya kepada unsur mistik serta mengamalkan ilmu hitam menyebabkan ada ‘sesuatu’ yang mengikutinya. 

Lebih menakutkan, June mendedahkan pernah terkejut ketika sedang tidur selepas terlihat lembaga hitam secara tiba-tiba.

“Watak saya ini percaya pada unsur mistik.  Saya pernah mengalami perasaan seperti ada pendamping sebab watak Maria Hadi ini memuja sesuatu.

ARTIKEL BERKAITAN: Junainah Lojong ‘berguru’ dengan wanita misteri tinggal di hutan demi hidupkan watak dukun dalam filem ‘Roh’

ARTIKEL BERKAITAN: Kisah bomoh terkenal jadi taruhan, pengarah ‘Polong’ mahu bawa karya ke luar negara

“Memang rasa seram sampai naik bulu roma, tapi tidaklah sampai saya meracau.

“Cuma ada rasa lain sehingga saya ternampak lembaga hitam ketika tidur.  Itu yang buat saya terkejut. Mungkin badan saya terlalu penat waktu itu,” jelasnya.

June turut menjelaskan watak tersebut diinspirasikan daripada kisah benar, namun bukan berdasarkan individu tertentu.

“Inspirasi watak ini datang daripada kisah benar, tapi saya tak meniru sesiapa.

June pernah terkejut daripada tidur kerana terlihat sesuatu seakan-akan lembaga hitam.

“Maria Hadi bukan Mona Fandey, tapi seorang wanita yang terdesak dan terhimpit oleh keadaan,” ujarnya.

Filem Polong mengangkat kisah Maria Hadi yang hidup bergelumang dengan amalan ilmu hitam serta dosa lampau yang menghantui dirinya. 

Ketika akhir hayat, dia cuba mencari keampunan namun tindakannya melepaskan polong belaan kepada individu yang tidak sepatutnya akhirnya mencetuskan sumpah laknat yang perlu ditanggung pewarisnya.

Selain June, filem arahan pengarah Zulkarnain Azhar itu turut dibintangi barisan pelakon lain seperti Mimi Lana, Fad Anuar, Nam Ron dan Nadiya Nisaa.

Polong dijangka ditayangkan pada 2026.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain