suria

Dolla mohon maaf, konsert batal akibat permit dan kelulusan tak siap

Dolla mohon maaf hampakan peminat selepas konsert mereka terpaksa dibatalkan.

SUSULAN pembatalan konsert Dolla Good Girls Gone Bad yang sepatutnya berlangsung pada 6 Disember depan di Idea Live Arena, anggota kumpulan yang diwakili Sabronzo, Tabby dan Angel tampil memohon maaf kepada peminat.  

Menurut Sabronzo, keputusan itu terpaksa dibuat selepas pihak penganjur tidak dapat menyiapkan permit serta kelulusan pihak berkuasa.

"Kami ingin minta maaf tentang pembatalan konsert Good Girls Gone Bad. Kami faham ramai antara anda yang begitu menantikan konsert ini, begitu juga dengan kami.

Dolla turut kecewa konsert mereka terpaksa dibatalkan.

"Kami juga kecewa seperti anda semua. Malangnya, pihak penganjur dan pasukan terpaksa membuat keputusan ini selepas mendapati mereka tidak dapat menyiapkan permit serta kelulusan pihak berkuasa yang diperlukan dalam masa ditetapkan.

"Tanpa kelulusan tersebut, konsert ini tidak dapat diteruskan. Atas faktor itu, Dolla dan pasukan kami tidak sanggup mengambil risiko kemungkinan konsert dibatalkan dua atau tiga hari sebelum acara berlangsung,"katanya menerusi hantaran video yang dimuat naik di Instagram rasmi Dolla pada petang Sabtu.

Sementara itu, Tabby memberitahu, Dolla telah berusaha sedaya upaya bagi memastikan persembahan terbaik untuk peminat, namun terpaksa akur dengan keputusan yang telah ditetapkan.

ARTIKEL BERKAITAN: Kurang persiapan, penganjur umum konsert Dolla terpaksa dibatalkan

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas MV seksi diturunkan, peminat risau nasib konsert Dolla… Penganjur beritahu masih ‘on’

Bagi menghargai kesetiaan peminat, Tabby berkata, Dolla bakal merancang acara istimewa pada tarikh pembatalan konsert itu.

“Kami telah bekerja keras dengan pasukan yang luar biasa, dari visual ke persembahan tarian, juga produksi muzik konsert ini untuk menyediakan persembahan yang terbaik untuk anda.

"Kami benar-benar harap dapat teruskan konsert, tapi malangnya keadaan tak membenarkan.

“Tapi kami berjanji buat iDolla, untuk berjumpa dengan anda kerana kami benar-benar merindui kalian semua. Tunggu konsert penuh kami pada tahun depan,” katanya.

Dolla janji akan adakan pertemuan istimewa bersama peminat.

Dalam pada itu, Angel pula memberi jaminan kepada pemegang tiket bahawa proses pemulangan dan pengurusan tiket akan dijalankan dengan lancar.

“Bagi mereka yang telah membeli tiket, jangan risau, kami akan memastikan proses ini berjalan dengan lancar.

"Terima kasih atas kasih sayang, kesabaran dan sokongan anda terhadap kami selama ini.

“Kami berjanji akan kembali dengan persembahan yang hebat. Kami sayangkan anda, iDolla," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain