PEMINAT kumpulan Dolla terpaksa menerima berita mengejutkan apabila pihak penganjur mengumumkan pembatalan konsert Dolla Good Girls Gone Bad Live in Concert yang sepatutnya berlangsung di Idea Live Arena, Petaling Jaya pada 6 Disember ini.
Menurut kenyataan rasmi SAH Entertainment dan Universal Music Malaysia (UMM), keputusan itu terpaksa dibuat selepas menilai semula keseluruhan persiapan termasuk aspek keselamatan, teknikal, kelulusan dan operasi yang tidak dapat diselesaikan mengikut jadual.
Pengarah urusan SAH Entertainment, Sufi Rashid berkata, pihaknya bimbang persiapan akhir tidak dapat disempurnakan tepat pada waktunya sekali gus boleh menjejaskan keseluruhan pengalaman peminat.

Konsert Dolla tidak diteruskan oleh penganjur.
“Kami percaya pada standard keselamatan, kualiti dan pengalaman yang tinggi.
“Selepas penilaian risiko, kami mendapati meneruskan konsert dengan garis masa semasa boleh menjejaskan kualitinya. Semua bayaran balik akan diproses segera,” katanya yang turut memuat naik kenyataan di Instagram miliknya pada malam Jumaat.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan UMM, Kim Lim, turut menzahirkan rasa sedih atas pembatalan tersebut dan menyifatkan keputusan itu tidak dibuat dengan mudah.
ARTIKEL BERKAITAN: Selepas MV seksi diturunkan, peminat risau nasib konsert Dolla… Penganjur beritahu masih ‘on’
ARTIKEL BERKAITAN: Kontroversi MV Question, netizen cadang Dolla ‘angkat kaki’, cuba nasib di luar negara
“Kami tahu ramai yang menantikan konsert ini. Membatalkan acara, lebih-lebih lagi membabitkan kumpulan seperti Dolla dan hubungan mereka dengan iDOLLA, bukan keputusan yang diambil sewenang-wenangnya. Kami mohon maaf atas segala kesulitan,” jelasnya.
Sementara itu, penganjur memberi jaminan semua pemegang tiket akan menerima bayaran balik penuh secara automatik melalui kaedah pembayaran asal tanpa perlu membuat sebarang tindakan.
Pelanggan diminta menunggu tiga hingga empat minggu untuk proses pemulangan wang, bergantung kepada bank atau penyedia kad masing-masing.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


