PELAKON dan pelawak, Joey Daud menegaskan penggunaan lawak berunsur 'double meaning' dalam filem terbaharunya, Klepet bukan berniat untuk menormalisasikan humor sedemikian, sebaliknya hanya menjayakan karakter yang diminta dalam skrip.
Joey atau Zulkifli Daud, 52, berkata, penggunaan bahasa sedemikian selari dengan watak yang dibawa dan sering digunakan dalam interaksi harian.
"Kami bukan mahu menormalisasikan tetapi hanya menjayakan karakter dan kehendak penulis skrip. Sebelum kita keluarkan dialog-dialog ini, kita kena bincang dulu dengan pihak produksi. Kalau okay baru kami (pelakon) buat.

Joey berharap penonton memberi fokus kepada mesej yang ingin disampaikan dalam Klepet.
"Saya anggap perkara ini normal. Kalau kita dengan kawan-kawan pasti akan keluar bahasa lagi teruk.
"Dialog yang digunakan dalam filem ini ingin menunjukkan keakraban sebagai sahabat, maka akan keluar bahasa-bahasa begitu," katanya kepada mStar.
Dalam pada itu, Joey memberitahu setiap pelakon mempunyai cara tersendiri untuk menghidupkan karakter.
ARTIKEL BERKAITAN: Dijerit ‘hoi’ minta buat lawak, Joey Daud dah terbiasa jumpa peminat terlalu teruja sampai lupa adab
ARTIKEL BERKAITAN: Joey Daud sanggup pakai baju bundle, mahu nampak berbeza artis lain
Tegas Joey, penonton tidak seharusnya menjadikan lawak 'double meaning' sebagai fokus utama sebaliknya mencari mesej yang ingin disampaikan dalam filem.
"Setiap orang akan 'sarung' karakter berbeza. Kalau tidak semuanya akan sama. Dah namanya pun berlakon.
"Kalau nak cakap fasal bahasa lucah, di luar sana lebih teruk. Kalau baru buat sikit macam ini dah kena serang, macam mana filem kita nak maju. Saya harap penonton tonton filem ini secara keseluruhan sebelum menilai.
Kalau nak cakap fasal bahasa lucah, di luar sana lebih teruk.
JOEY DAUD
PELAKON & PELAWAK
"Filem ini sangat luas tetapi kalau boleh janganlah pandang perkara itu saja (lawak double meaning). Contoh saya peniaga pisang, saya letak papan tanda bertulis 'jangan sentuh pisang saya'. Maksudnya apa? Jangan rosakkan pisang saya sedang berniaga kan.
"Perkara itu boleh jadi dua makna (double meaning), jadi fokus saja pada keseluruhan cerita apa yang ingin kami sampaikan," ujarnya.
Dalam masa sama, Joey menekankan kepentingan bimbingan orang dewasa kepada penonton bawah umur, khususnya kanak-kanak bagi memberi penerangan lebih jelas.
"Kena ada orang dewasa untuk menerangkan apa maksud sebenar dialog-dialog itu. Jangan tengok kosong sahaja.

Gelagat Eric (kiri) dan Joey mencuri perhatian penonton.
"Saya cakap sebab saya pun ada anak. Bila ada babak-babak begini saya akan terangkan kepada anak-anak supaya mereka jelas. Kena faham," katanya.
Selain Joey, Klepet turut dibintangi barisan pelakon popular termasuk Aedy Ashraf, Nadhir Nasar, Meerqeen Aeril Zafrel, dan Eric Fuzi.
Filem Klepet bakal ditayangkan di seluruh pawagam bermula 27 November ini.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


