LEBIH tiga dekad bergelar anak seni, pelakon Datuk Rosyam Nor memberitahu bahawa dia tidak pernah menggunakan khidmat pengurus atau pembantu peribadi (PA) dalam memudahkan urusan hariannya.
Rosyam, atau nama sebenarnya Mohamed Noor Shamsuddin, 58, berkata sejak awal pembabitannya dalam industri, dia sudah terbiasa melakukan segala hal sendiri termasuk menyusun jadual penggambaran dan temu janji bersama pihak media.
“Dulu gaji nak makan pun cukup-cukup, mana mampu bayar PA. Jadi kita buat sendiri. Saya tak pernah bantah orang pakai PA atau pengurus, tapi saya selesa begini.

Rosyam selesa menguruskan hal kerja tanpa pembantu.
Sepanjang kerjaya, pernah ke saya tak datang set, lambat atau gagal hadir janji temu? Tak pernah. Itu disiplin orang lama,” katanya kepada mStar.
Rosyam berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media tayangan perdana filem Banduan yang diadakan di TGV KLCC, Kuala Lumpur pada malam Selasa.
Menurutnya lagi, isteri dan anak-anak sering berasa risau kerana dia sering pulang lewat malam selepas penggambaran tanpa ditemani sesiapa.
ARTIKEL BERKAITAN: Usia bukan penghalang, Rosyam Nor akan terus berlakon filem aksi
ARTIKEL BERKAITAN: Netizen ugut boikot pasar raya sebab ’Iman’, Rosyam Nor anggap hanya gurauan
Atas faktor keselamatan, Rosyam kini mula mempertimbangkan untuk mengambil seseorang yang dipercayai bagi membantu melancarkan urusan hariannya.
“Paling bising tentulah orang rumah dan anak-anak. Mereka risau sebab saya suka pandu kereta sendiri. Saya tak ada pemandu, tak ada pengurus, tak ada PA.
"Untuk jaga prestij syarikat, ada juga yang minta saya ambil pemandu. Saya pun sedang fikir, nak ambil atau tidak," ujarnya.

Rosyam sudah terbiasa bekerja tanpa pembantu peribadi.
Dalam perkembangan lain, Rosyam tampil dalam filem aksi berjudul Banduan, adaptasi filem blockbuster Tamil bertajuk Kaithi.
Versi Malaysia itu diarahkan oleh Kroll Azry dan diterbitkan oleh Number Twenty One Media dengan kerjasama Dream Warrior Pictures, manakala Astro Shaw bertindak sebagai rakan pemasaran dan pengedaran.
Selain Rosyam, filem tersebut turut menampilkan barisan pelakon terkenal seperti Datuk Aaron Aziz, Datuk Afdlin Shauki, Zul Ariffin, Fadhli Masoot dan Adlin Aman Ramli.
Banduan bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara mulai 6 November.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


