KECOH di media sosial apabila sebuah saluran YouTube mendakwa penyanyi Datuk David Arumugam sedang bertarung nyawa di hospital.
Tampil menjelaskan keadaan, Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, Datuk Freddie Fernandez berkata video berkenaan mengandungi maklumat tidak benar serta berunsur fitnah.
Malah dia menerima laporan rasmi daripada Alleycats Official dan David sendiri berhubung penyebaran video tersebut.

David masih aktif membuat persembahan.
”Kandungan video ini tidak benar sama sekali dan merupakan fitnah terhadap David. Dia agak sihat dan masih menjalankan persembahan bersama rakan-rakannya dalam kumpulan Alleycats seperti biasa” katanya.
Menurut Freddie, kandungan video itu juga boleh menjejaskan reputasi serta periuk nasi penyanyi berkenaan dan kumpulannya.
Karyawan dalam masa sama menggesa pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil tindakan tegas terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan berita palsu melibatkan artis tempatan.
ARTIKEL BERKAITAN: Tidak pernah ada pembantu peribadi, Rosyam Nor urus kerjaya sendiri - “Dulu gaji pun cukup-cukup, mana mampu bayar PA”
ARTIKEL BERKAITAN: Demi komitmen kerja, Aaron Aziz tolak tepi rasa sakit… Enggan susahkan produksi
Sehubungan itu, pihaknya mengutus surat kepada Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, bagi meminta MCMC menjalankan siasatan serta mengambil tindakan.
“Perkara seperti ini boleh menyebabkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat. Lebih membimbangkan, penganjur mungkin tidak lagi menjemput Alleycats membuat persembahan kerana percaya David sedang sakit.

Karyawan gesa MCMC ambil tindakan terhadap penyebar fitnah.
“Fenomena penyebaran kandungan tidak sahih dan berunsur fitnah semakin menjadi-jadi. Ramai artis menjadi mangsa hingga menjejaskan karier, kredibiliti serta kesejahteraan mental mereka.
"Kami juga berharap MCMC dapat menetapkan garis panduan dan mewujudkan kerjasama dengan Karyawan bagi melindungi artis-artis tempatan daripada fitnah siber serta menyedarkan masyarakat tentang tanggungjawab menerbitkan kandungan digital,” jelasnya.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


