SELEPAS menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF), pelakon dan aktivis Ardell Aryana mendedahkan menerima kecaman dan ugutan termasuk cuba mengesan lokasinya.
Ardell atau Nurul Hidayah Mohd Amin, 35, berkata, ada pihak sanggup menawarkan bayaran sebanyak RM5,000 kepada pengurusnya semata-mata untuk mengetahui keberadaannya.
Bagaimanapun dia enggan ambil pusing dengan ancaman diberikan dan tidak takut sekiranya diugut.
"Saya tak kisahlah orang nak komen, orang nak ugut. Ada sampai dia hubungi pengurus saya.

Ardell menyertai misi kemanusiaan ke Gaza.
"Siap nak upah RM5,000 untuk nak tahu lokasi saya sahaja. Marah-marah dan paksa semata-mata untuk tahu lokasi saya berada.
"Saya tak kisah sebenarnya, saya tak takut pun pada setiap ugutan itu," katanya.
Ardell berkongsi perkara itu menerusi sesi siaran langsung yang dilakukan di TikTok miliknya.
Dalam pada itu, Ardell memberitahu setiap kecaman diterima sudah tidak memberi kesan terhadapnya, malah mengakui kini masih diuji dengan pelbagai dugaan.
ARTIKEL BERKAITAN: Nadzmi Adhwa dedah keluarga dalam bahaya, mengaku sedang diperhati tali barut Israel… “Mereka ada ejen di sini”
ARTIKEL BERKAITAN: Ardell Aryana belum sembuh, perlu masa rehat lepas pulang sertai misi GSF
"Orang nak kecam? Sebenarnya dah tak bagi apa-apa kesan untuk saya.
"Saya masih ada lagi beberapa ujian yang sedang saya lalui.
"Cuma saya terfikir, berapa orang bayar korang ini untuk tahu lokasi saya. Sampai tahap macam itu sekali korang nak tahu," ujarnya.
Sebelum ini, suami Ardell iaitu pelakon Nadzmi Adhwa mendedahkan ahli keluarganya sedang diperhatikan oleh golongan dilabel sebagai tali barut Israel yang berada di Malaysia.

Nadzmi (kanan) sebelum ini mendedahkan keluarganya menerima ugutan.
Menurut Nadzmi, dia mengakui berasa sedikit bimbang apabila pergerakan dia dan anak-anak sedang diperhatikan.
Untuk info, Ardell antara 23 aktivis kemanusiaan dari Malaysia menyertai misi GSF ke Gaza bagi menghantar bantuan kepada penduduk Palestin.
Namun, misi tersebut tidak kesampaian apabila bot dinaiki mereka telah dipintas oleh tentera rejim Zionis dan kesemua aktivis ditahan buat sementara waktu.
Kesemua mereka kemudian dibebaskan dan selamat tiba di tanah air pada 6 Oktober lalu.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


