PELAKON dan aktivis Ardell Aryana masih belum sihat sepenuhnya selepas dia pulang ke tanah air dari menyertai misi Global Sumud Flotilla ke Gaza.
Khabar itu dikongsi sendiri oleh suaminya iaitu aktor Nadzmi Adhwa, 33, yang juga memohon orang ramai bersabar menanti kemunculan semula Ardell.
"Salam semua. Saya tahu ramai yang cuba hubungi dan ambil berat sangat tentang Ardell, nak dengar sendiri daripada dia.

Ardell dilihat kelitahan sebaik tiba di tanah air pada 6 Oktober lalu.
"Saya minta semua sabar dan tunggu Ardell betul-betul sembuh fizikal dan mental ya. Kita sama-sama doakan dan tunggu Ardell sembuh.
"Insya-Allah Ardell akan kembali. Pada keluarga, wartawan dan kawan-kawan, minta maaf... minta masa lagi ya," katanya.
Nadzmi berkongsi perkara itu menerusi satu hantaran di akaun Threads miliknya pada Sabtu.
Berkongsi lanjut, Nadzmi berkata isterinya amat terharu dan menghargai setiap doa serta sokongan yang diberikan oleh orang ramai sepanjang ketiadaannya.
ARTIKEL BERKAITAN: Ardell Aryana rebah di KLIA ketika kendong anak, suasana bertukar cemas… Nadzmi bergegas lihat keadaan isteri
ARTIKEL BERKAITAN: Sebak! Nadzmi Adhwa sambut Ardell dengan air mata selepas hampir dua bulan tidak bertemu
"Ardell sayang semua dan menghargai sokongan orang ramai. Semoga Allah merahmati kalian semua," ujarnya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen menitipkan doa agar Ardell kembali sembuh seperti sediakala selain memberi kata-kata semangat buat aktres tersebut.
"Tidak mengapa Ardell, semoga cepat sembuh dan jaga diri.
"Rehat secukupnya Ardell, jangan paksa diri.

Ardell antara aktivis yang sertai misi GSF ke Gaza.
"Cepat sembuh dan rehat sahaja dulu, Ardell dah berjuang teruk sangat dah," tulis netizen.
Ardell atau Nurul Hidayah Mohd Amin, 35, antara 23 aktivis kemanusiaan dari Malaysia yang menyertai misi GSF ke Gaza bagi menghantar bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin.
Namun, misi tersebut tidak kesampaian apabila bot dinaiki mereka telah dipintas oleh tentera rejim Zionis dan kesemua aktivis ditahan buat sementara waktu.
Kesemua mereka kemudian dibebaskan dan selamat tiba di tanah air pada 6 Oktober lalu.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


