suria

‘Plot twist’! Bekas pekerja Puteri Sarah mengaku masukkan duit jualan dalam entiti yang dibubarkan, tak pernah jadi rakan kongsi

Puteri Sarah jelas berada di pihak yang benar.

BEKAS pekerja kepada Puteri Sarah Liyana iaitu Nazatul Nazira Zainol Abidin mengaku telah memasukkan hasil jualan produk kosmetik ke dalam entiti yang dibubarkan tanpa pengetahuan pelakon itu. 

Dalam prosiding kes pecah amanah yang berlangsung di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada pagi Jumaat,  Nazatul Nazira selaku defendan turut mengaku tidak pernah menjadi rakan kongsi dalam mana-mana perniagaan milik Puteri Sarah.

Perkara itu dimaklumkan defendan di hadapan Majistret Norhanum Hassan. 

Nazatul (kanan) mengaku telah memasukkan hasil jualan produk kosmetik ke dalam entiti yang dibubarkan tanpa pengetahuan Puteri Sarah.

Pengakuan yang dibuat defendan itu membawa kepada penyelesaian secara baik sekali gus kedua-dua pihak bersetuju untuk menghentikan pertikaian peribadi antara mereka.

Berdasarkan Penghakiman Persetujuan pihak-pihak, Norhanum kemudian memerintahkan Nazatul Nazira untuk membayar kepada plaintif sebagai penyelesaian penuh dan muktamad terhadap semua tuntutan dalam tindakan itu.

Sekiranya berlaku keingkaran dalam pembayaran  selama dua bulan berturut-turut , maka baki keseluruhan yang masih belum dibayar akan menjadi serta-merta kena dibayar dan plaintif  berhak untuk memohon penghakiman bagi baki tersebut berserta kos dan faedah mengikut budi bicara mahkamah.

ARTIKEL BERKAITAN: Puteri Sarah menang saman fitnah, bekas pekerja diarah bayar RM150,000

ARTIKEL BERKAITAN: Puteri Sarah tak bagi muka, teruskan kes saman malu dan pecah amanah bekas pekerja

Pada kes terbabit Puteri Sarah diwakili tiga peguam iaitu Nizam Bashir Abdul Kariem Bashir, Azmi Tan Sri Dr Mohd Rais dan Mohamad Ikmal Bin Ibrahim.

Manakala defendan diwakili Muhammad Danish Abdul Rasid. 

Terdahulu, Puteri Sarah Liyana tetap berkeras untuk meneruskan tindakan undang-undang terhadap Nazatul Nazira. 

Nazatul sebelum ini diperintahkan membayar ganti rugi RM150,000 kepada Puteri Sarah.

Puteri Sarah memfailkan dua saman iaitu fitnah dan pecah amanah kerana yakin berada di pihak yang benar selain mahu memperjuangkan haknya.

Bagi kes saman fitnah, mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jun lalu mengarahkan Nazatul Nazira membayar ganti rugi RM150,000 kepada pelakon itu berhubung hantaran fitnah dalam platform 'stories' di Instagram dan WhatsApp pada tahun lalu.

Mahkamah mendapati Puteri Sarah telah berjaya membuktikan tuntutan fitnah dibuat Nazatul Nazira sehingga mencemarkan reputasinya sebagai selebriti, usahawan dan ibu tunggal.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain