suria

Puteri Sarah menang saman fitnah, bekas pekerja diarah bayar RM150,000

Puteri Sarah harap kes ini akan memberi pengajaran kepada orang ramai.

MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur hari ini mengarahkan bekas pekerja kepada pelakon Puteri Sarah Liyana iaitu Nazatul Nazira Zainol Abidin membayar ganti rugi RM150,000 kepada pelakon itu berhubung hantaran fitnah dalam platform 'stories' di Instagram dan WhatsApp pada tahun lalu.

Mahkamah mendapati Puteri Sarah telah berjaya membuktikan tuntutan fitnah dibuat Nazatul sehingga mencemarkan reputasinya sebagai selebriti, usahawan dan ibu tunggal.

Selain ganti rugi, Nazatul juga diperintahkan untuk membayar kos perbicaraan sebanyak RM30,000 kepada Puteri Sarah selain faedah pada kadar 5% setahun ke atas jumlah penghakiman dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh.

Nazatul (kanan) diperintah bayar ganti rugi. 

Mahkamah juga memerintahkan Nazatul membuat satu aku janji tidak akan mengulangi perbuatan yang sama, injunksi menghalang penerbitan lanjut kenyataan fitnah, dan perintah kepada defendan untuk membuat permohonan maaf bertulis serta menarik balik kenyataan tersebut di Instagram dan WhatsApp dalam tempoh tiga hari dari tarikh penghakiman.

Dalam masa sama, mahkamah turut menolak sepenuhnya tuntutan balas Nazatul selaku defendan terhadap plaintif (Puteri Sarah) dan memerintahkan kos sebanyak RM20,000 dibayar kepada plaintif selepas berjaya membuktikan pembelaan justifikasi.

Keputusan ini memberikan mesej yang jelas bahawa serangan fitnah, terutamanya melalui media sosial, tidak akan dibiarkan dan reputasi yang dicemarkan oleh tuduhan tidak berasas berhak mendapat pembelaan undang-undang.

ARTIKEL BERKAITAN: Puteri Sarah tak bagi muka, teruskan kes saman malu dan pecah amanah bekas pekerja 

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Bekas pekerja mahu kes fitnah dibicarakan, fail saman balas terhadap Puteri Sarah

Puteri Sarah dalam satu kenyataan melalui peguam yang diwakili dari Tetuan Zulkifli Yong Azmi & Co. menyambut baik keputusan itu dan berharap ia menjadi pengajaran kepada mana-mana pihak supaya bertanggungjawab dalam menggunakan platform media sosial.

Pada kes terbabit Puteri Sarah diwakili empat peguam iaitu Nizam Bashir Abdul Kariem Bashir, Azmi Tan Sri Dr Mohd Rais, Zulkifli Che Yong dan Mohamad Ikmal Bin Ibrahim.

Sebelum ini Puteri Sarah memfailkan saman dan tuntutan RM1 juta sebagai ganti rugi terhadap Nazatul Nazira yang didakwa membuat kenyataan fitnah.

Fitnah turut melibatkan nama Andy (dua dari kiri). 

Menerusi tuntutan kenyataan fitnah dikongsinya di Instagram, terdapat lima bukti kenyataan dibuat, antaranya Puteri Sarah dituduh mengambil dadah.

Selain itu, individu terbabit menggelarnya seorang bodoh sombong, menyara atau membela individu yang dipercayai bernama Andy, menganggap sebagai rakan kongsi dan seorang ketua yang suka menganiaya pekerja-pekerja.

Puteri Sarah turut menuntut individu itu menarik semula kenyataan fitnah dilemparkan dan membuat permohonan maaf secara terbuka kepadanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain