SEMAKIN aktif mengukuhkan nama di China, penyanyi Shila Amzah enggan mengulas lanjut berhubung dakwaan menerima bayaran dalam mata wang dolar.
Bagaimanapun Shila atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Amzah, 35, tidak menolak bahawa setiap rezeki diperoleh adalah hasil daripada usaha keras yang dilakukan selama ini.
"Saya hanya mampu ucap Alhamdulillah, semua ini adalah rezeki. Saya percaya usaha keras dan kejayaan tidak pernah mengkhianati hasil.
Shila banyak menerima undangan di China.
"Daripada segi mahal atau tidak terpulang kepada individu yang menilai, saya tahu nilai saya. Bergantung kepada hak masing-masing.
"Berkaitan dibayar dalam mata wang dolar, apa yang saya boleh katakan di Malaysia saya terima bayaran dalam wang ringgit. Jika di negara lain mengikut mata wang negara tersebut,” katanya.
Shila memaklumkan perkara itu ketika ditemui pada sidang media program realiti Raise The Star pada Khamis.
ARTIKEL BERKAITAN: Shila Amzah rindu nyanyi lagu Melayu, impi konsert khas buat peminat tempatan
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Tiada masalah dengan bapa tapi Shila Amzah perlu masa terima ibu tiri
Dalam masa sama, Shila juga mengulas dakwaan segelintir netizen mengenai bakatnya yang lebih dihargai di China berbanding tanah air.
Enggan melayan pandangan negatif itu, Shila sebaliknya memilih untuk menghargai sokongan yang diberikan peminat dari dalam dan luar negara.
Saya percaya usaha keras dan kejayaan tidak pernah mengkhianati hasil
SHILA AMZAH
PENYANYI
"Bercakap fasal dihargai, ketika saya baca komen di media sosial ramai yang hargai saya. Alhamdulillah, baik di negara sendiri mahu pun negara luar.
"Saya juga gembira lihat apabila ramai berkongsi semula video persembahan saya di luar negara dan itu membuatkan saya lebih semangat untuk terus berkarya.
Shila gembira bakatnya dihargai ramai peminat.
"Lebih dihargai di negara luar itu bukan satu isu. Saya gembira orang lihat bakat dan apa yang saya sudah usahakan,” ujarnya.
Untuk info, Shila bersama empat komposer lain iaitu Ajai, Audi Mok, Ikhwan Fatanna dan Aina Abdul bakal menjadi juri bagi program nyanyian baharu Astro, Raise The Star.
Program yang mempunyai seramai 30 peserta itu akan bersiaran bermula pada 22 Jun depan, setiap Ahad pukul 9 malam secara langsung di Astro Ria.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube