suria

Impak Maksima 2 penentu karier Ahmad Idham, sedia undur diri jika gagal

Impak Maksima 2 merupakan pertaruhan Idham untuk meneruskan kerjaya sebagai pengarah.

BAKAL muncul dengan filem terbaharu berjudul Impak Maksima 2, pengarah Dr Ahmad Idham menyifatkan karya ini menjadi penentu sama ada dia masih relevan dalam industri perfileman ataupun sebaliknya. 

Idham atau Ahmad Idham Ahmad Nadzri, 51, berkata, penglibatannya dalam filem tersebut menjadi pertaruhan terbesar untuk menentukan nasibnya sebagai seorang pengarah. 

"Bagi saya filem Impak Maksima 2 ini adalah karya yang paling kritikal untuk menentukan masa depan dalam industri. 

"Kalau filem-filem saya gagal lagi, siapa lagi nak labur duit? Saya tak rasa akan ada pelabur yang mahu memberikan peluang itu lagi

Idham berharap filem Impak Maksima 2 berjaya mendapat sambutan hangat di pawagam.

"Ia jelas menunjukkan bahawa saya sudah tidak relevan dalam industri. Filem ini mungkin menjadi penentu nasib atau saya kena fikir kerjaya lain selepas ini," katanya kepada mStar.

Idham berkongsi perkara itu ketika ditemui pada majlis menandatangani memorandum persefaham (MoU) Hextar World dan 10Star Cinemas yang diadakan di Petaling Jaya pada Jumaat. 

Dalam pada itu, Idham tidak menafikan dia berasa bimbang memikirkan tentang masa depannya dalam industri hiburan, sekiranya filem Impak Maksima 2 gagal di pawagam. 

Bagaimanapun pengarah berkenaan memberitahu dia menyedari kenyataan tersebut dan reda untuk menerima sebarang kemungkinan bakal berlaku. 

ARTIKEL BERKAITAN: Ahmad Idham tegur pelakon baharu, jika kena buli mengadu kepada pengarah bukan media

ARTIKEL BERKAITAN: Ahmad Idham minta produksi hormat artis veteran soal bayaran, jangan dah meninggal dunia baru nak beri anugerah

"Memanglah bimbang, siapa tak risau. Tetapi kita perlu menerima kenyataan kerjaya sebagai anak seni memang seperti itu. 

"Disebabkan itu saya sentiasa berpesan kepada artis lain, sebaik menjejakkan kaki dalam industri, kita dah kena fikir apa langkah seterusnya. 

"Ini yang berlaku kepada kebanyakan artis senior dulu. Pada akhirnya tiada siapa yang peduli tentang kita," ujarnya. 

Impak Maksima 2 ini adalah karya yang paling kritikal untuk menentukan masa depan saya dalam industri. 

DR AHMAD IDHAM

PENGARAH

Mengambil contoh tentang penglibatan pengarah Datuk Yusof Haslam, kata Idham figura sehebat sutradara berkenaan juga mempunyai masa untuk menamatkan kariernya sebagai pengarah filem. 

Tambah Idham, dia sentiasa berfikiran realistik kerana menganggap setiap kerjaya anak seni itu pasti mempunyai tarikh luputnya.

"Saya percaya dalam hidup ini satu masa nanti kerjaya kita akan berakhir tetapi bagaimana cara kita pastikan dapat bertahan dengan lebih lama. 

"Saya beri contoh ikon pengarah Datuk Yusof Haslam, dia terpaksa akur untuk berhenti mengarah. 

Idham mengarahkan filem Impak Maksima 2.

"Nasib baik dia ada anak-anak yang mewarisi bakatnya, tetapi berapa ramai pula orang yang bernasib baik seperti dia?... Kesimpulannya, sehebat-hebat Yusof pun dia berhenti mengarah filem juga," katanya. 

Dalam perkembangan lain, 10Star Cinemas menjadi pengedar untuk filem Impak Maksima 2 bakal ditayangkan pada 17 Julai ini.

10Star Cinemas menandatangani MoU penting bersama Hextar World untuk membuka lokasi utama mereka di Lembah Klang. 

Sebelum ini, 10Star Cinema sudah mempunyai 6 cawangan di Sabah termasuk di Bintang Kubota (Tawau), Bandar Labuk Square (Sandakan), Bandar Tabin Jaya (Sandakan), Bandar Sri Indah (Tawau), Parklane City Benoni (Papar), dan 1 Avenue Commercial Centre (Kota Marudu).

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain