TERCALON dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik sempena Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34), aktres Sweet Qismina menganggap ia sebagai satu kejayaan yang cukup membanggakan buat dirinya sebagai anak seni.
Apa lagi kali ini dia bersaing dengan pelakon-pelakon senior yang juga berpengalaman dicalonkan dalam FFM edisi terdahulu.
Bagi Sweet atau Farhanna Qismina Supandi, 28, usahanya membawakan watak Maya dalam filem Babah sangat berbaloi kerana mendapat perhatian barisan juri.

Sweet berjaya menghidupkan watak Maya dalam filem Babah.
"Ini adalah anugerah yang menjadi impian semua anak seni termasuk saya. Tercalon bersama empat orang senior membuatkan rasa rasa amat bersyukur dan ia seperti suatu yang tidak terjangka berlaku dalam hidup saya.
"Jika tidak menang sekalipun saya sudah cukup berbangga dengan diri sendiri.
"Berbaloi segala usaha sebelum ini biarpun saya tak pernah fikir untuk menang anugerah ketika berlakon. Ia bukan satu yang mudah kerana saya perlu turunkan berat badan, faham tentang penyakit yang dialami dan belajar bahasa isyarat," katanya kepada mStar.
ARTIKEL BERKAITAN: Pemenang Filem Terbaik FFM34 bakal senyum lebar terima dana RM1 juta
ARTIKEL BERKAITAN: Blood Brothers: Bara Naga raih 13 pencalonan di FFM34
Dalam keterujaan, Sweet juga sedar tercalon dalam anugerah besar sebegini memberi satu cabaran buatnya untuk terus meningkatkan kualiti lakonan.
Dia tidak mahu mengecewakan harapan penonton yang mungkin telah meletakkan satu tanda aras terhadap setiap hasil kerjanya.
"Ada bagusnya juga saya tercalon dalam FFM34 ini. Ia membuka hati dan minda saya untuk lebih fokus dengan serius. Ia bermakna saya sentiasa perlu menjaga kualiti lakonan sebab jangkaan orang tinggi.

Senarai calon Pelakon Wanita Terbaik FFM34.
"Jika mahu terus kekal dalam industri saya perlu menjaga kualiti sebaik mungkin," jelasnya.
Pelakon lain yang juga tercalon dalam katergori sama ialah Nabila Huda untuk lakonannya dalam Telaga Suriram, Datin Sofea Jane (Mencari Ramlee), Khatijah Tan (Jangan Pandang Belakang, Aku Tahu Asal Usulmu) dan Maya Karin (Telaga Suriram).
FFM34 yang mengangkat tema Karya Kreatif, Sinema Dinamik bakal berlangsung pada 1 November bertempat di Angkasapuri, Kota Media, Kuala Lumpur dan disiarkan secara langsung di saluran TV2.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


