SELEPAS 20 tahun, pelakon Aedy Ashraf meluahkan rasa teruja apabila namanya kembali tersenarai sebagai calon di Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34).
Aedy atau nama sebenarnya Mohammad Addy Ashraf Rosmadi, 32, berkata kali terakhir dia tercalon adalah pada usia 12 tahun menerusi kategori Pelakon Kanak-Kanak Terbaik di FFM20.
“Ketika itu pencalonan kategori kanak-kanak dan Syafie Naswip yang menang. Ia berlangsung di Pulau Pinang kalau tak silap saya.

Aedy teruja jadi calon FFM34.
“Itu juga merupakan kali pertama saya dicalonkan dalam anugerah berprestij di Malaysia,” katanya kepada mStar.
Aedy ditemui ketika sidang media filem Klepet yang diadakan di Kuala Lumpur pada petang Khamis.
Mengulas mengenai perasaannya, Aedy berkata sepanjang 22 tahun bergelar anak seni, peluang untuk kembali tercalon dalam anugerah berprestij itu merupakan salah satu impiannya.
ARTIKEL BERKAITAN: Blood Brothers: Bara Naga raih 13 pencalonan di FFM34
ARTIKEL BERKAITAN: Ini kali pertama Aedy Ashraf menang anugerah selepas 24 tahun jadi artis, pesan pelakon muda jangan berhenti berangan
Tidak mengharapkan lebih, Aedy sebaliknya berasa dihargai apabila dapat berdiri sebaris dengan nama besar seperti Eman Manan, Shukri Yahaya, Syafiq Kyle dan Syazwan Zulkifly.
Kesemua mereka tercalon dalam kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik.
Aedy tersenarai menerusi lakonannya dalam Kahar: Kapla High Council.
“Ia memang jadi impian saya untuk tercalon. Bila nama dah ada dalam senarai, itu sudah cukup, selebihnya saya tak nak fikir.
Bila saling menyokong ia akan menjadikan industri lebih baik.
AEDY ASHRAF
PELAKON
“Saingan sangat sengit, bila tengok senarai calon memang rasa teruja. Bagi saya, tercalon bersama yang terbaik pun sudah beri semangat untuk hasilkan karya lebih baik pada masa depan,” katanya.
Dalam pada itu, Aedy turut percaya barisan juri yang dilantik menjalankan tugas dengan seadilnya.
“Saya percaya juri bukan calang-calang orang dan saya sangat menghormati mereka walaupun tidak tahu siapa.

Mahu meraikan kemenangan semua pemenang.
“Pada malam itu nanti saya hadir untuk meraikan sesiapa saja yang menang kerana saya rasa semua yang tercalon layak diraikan.
“Industri kita kecil, bila saling menyokong ia akan menjadikan industri lebih baik,” ujarnya.
FFM34 bakal berlangsung pada 1 November di Angkasapuri, Kota Media, Kuala Lumpur dan di siarkan di saluran TV2.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


